Aman Palestin lancar kempen 'Ramadan Bersamamu', sasar kutipan RM12 juta

Bernama
Februari 13, 2023 12:43 MYT
Setakat ini jumlah dana yang terkumpul adalah kira-kira RM500,000 dan kesan daripada kejadian gempa bumi baru-baru ini kutipan banyak terfokus ke situ. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menjelang bulan Ramadan ini, badan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin Berhad melancarkan kempen 'Ramadan Bersamamu' yang menyasarkan kutipan dana RM12 juta bagi membantu warga Palestin, Syria dan Yaman.
Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata kempen kali ini bakal memberi manfaat kepada lebih 138,000 rakyat di negara terbabit.
"Kempen ini telah pun bermula sejak 1 Februari lepas dan akan berakhir pada 7 Mei ini. Setakat ini jumlah dana yang terkumpul adalah kira-kira RM500,000 dan kesan daripada kejadian gempa bumi baru-baru ini kutipan banyak terfokus ke situ.
"Melalui kempen ini, kami di Aman Palestin berusaha sebaik mungkin menyediakan beberapa bantuan seperti tajaan Iftar, Bakul Ramadan (bekalan makanan asas), Hadiah Raya serta pembinaan masjid," katanya pada sidang media Pelancaran Kempen Ramadan Bersamamu di Pejabat Aman Palestin di sini hari ini.
Muhd Farhan berkata semua keperluan ini akan diagihkan kepada penduduk Palestin, Syria dan Yaman yang sedang menghadapi suasana kehidupan yang susah, kritikal serta amat memerlukan bantuan.
"Selain itu, melalui kempen ini juga, Aman Palestin membuka ruang kepada seluruh masyarakat untuk turut serta dalam projek pembinaan masjid Syeikh Khalil di Bar Elias, Beqaa, Lubnan.
"Masjid ini mampu memberi manfaat kepada 10,000 penduduk termasuk 3,000 pelarian Syria di sekitar kawasan tersebut dan dijangka siap (pembinaannya) selama 18 bulan bermula Mac ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Aman Palestin juga telah memperuntukkan bantuan awal kira-kira RM262,000 bagi warga Turkiye dan Syria yang berhadapan dengan gempa bumi baru-baru ini.
"Di samping itu, dua misi bantuan kemanusiaan akan dilaksanakan pada pertengahan Februari dan Mac ini bagi membantu mangsa gempa di negara tersebut," katanya.
Menurut Muhd Farhan orang ramai boleh ke laman sesawang Aman Palestin https://jommenyumbang.com/ms/kempen/ramadan-bersamamu bagi menghulurkan bantuan.
-- BERNAMA
#aman palestin #ramadan bersamamu #Palestin #Syria #dana bantuan
;