Aman Palestin kumpul sumbangan bantu warga Palestin lalui Ramadan

Bernama
Mei 15, 2019 22:33 MYT
Rakyat Palestin sentiasa menghadapi ancaman Israel, yang terkini ialah serangan bom rejim Israel dari 3 hingga 5 Mei lepas yang sekurang-kurangnya mengorbankan 27 orang dan mengakibatkan ratusan orang hilang tempat tinggal. - Gambar fail
Dalam menjalani ibadah puasa di bulan mulia Ramadan, warga Palestin hari ini turut memperingati "Hari Naqbah" atau Hari Tragedi, hari yang mana Israel menguasai dan menduduki tanah mereka 71 tahun yang lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata untuk warga Palestin, berpuasa sepanjang bulan mulia ini ada cabaran tersendiri, khususnya kepada dua juta rakyat Palestin di Gaza yang terdesak memerlukan bantuan dari luar bagi memenuhi tuntutan rukun Islam ketiga itu.
Maka, baru-baru ini Aman Palestin melancarkan program 'Ramadan Bersama Palestin' untuk memberikan bantuan makanan dan perubatan bagi pelarian perang di sekitar Gaza dan khemah-khemah pelarian Palestin supaya dapat membantu mereka menyempurnakan ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Untuk bulan Ramadan, Aman Palestin melancarkan satu pakej sumbangan RM500 untuk rakyat Malaysia membantu pelarian perang Palestin menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan penuh makna. Kami juga melancarkan kempen wakaf untuk membina semula bangunan yang musnah juga membina hospital untuk pesakit mental di Gaza.
"Rakyat malaysia yang ingin menderma boleh berbuat demikian dengan melayari laman sesawang https://www.amanpalestin.net/," kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Dari 1 hingga 9 Mei lepas, Awang Suffian dan dua rakannya daripada Aman Palestin menyertai misi kemanusiaan antarabangsa 'Miles of Smiles' untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat Gaza bersama wakil-wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Muslim Care Malaysia Society Care (Muslim Care) dan Viva Palestina.
Sementara itu, Pengurus Besar Program Pembangunan dan Operasi MERCY Malaysia, Said Alhudzairi berkata badan itu telah bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) bagi menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri terutamanya kepada mereka di Gaza.
"Kami memerlukan RM400,000 untuk menyediakan bantuan makanan yang kritikal kepada 1,000 keluarga. Pada masa yang sama, kami juga membina semula jabatan kecemasan Hospital Dar El Salam di Gaza, yang amat kekurangan dari segi kemudahan dan peralatan kerana peperangan yang berpanjangan," katanya.
Sebagai sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan perkhidmatan perubatan di Palestin, Said Alhudzairi berkata MERCY Malaysia sentiasa terbuka kepada rakyat Malaysia yang ingin mengetahui perkembangan terkini dalam isu Palestin, yang mana sumbangan adalah dialu-alukan menerusi laman sesawang www.mercy.org.my (Dana Bantuan Palestin) atau hubungi talian 03-7733 5920 untuk maklumat lanjut.
Rakyat Palestin sentiasa menghadapi ancaman Israel, yang terkini ialah serangan bom rejim Israel dari 3 hingga 5 Mei lepas yang sekurang-kurangnya mengorbankan 27 orang dan mengakibatkan ratusan orang hilang tempat tinggal yang rosak akibat serangan itu.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #aman palestin #ancaman #Awang Suffian Awang Piut #bom #derma #Gaza #Hari Naqbah #hari raya #Hari Tragedi #Hospital #Israel #Malaysia #mercy malaysia #Palestin #pelarian #puasa #rakyat Malaysia #Ramadan #serangan #sumbangan #wakaf
;