BANGI: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyasarkan sumbangan sebanyak RM6 juta melalui kempen Bantuan Musim Sejuk (BMS) yang dilancarkan bermula Oktober hingga April tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut berkata, BMS bakal memberi manfaat kepada penduduk di bumi Syam melibatkan Palestin, Syria dan Yaman untuk persediaan mereka menghadapi musim sejuk yang melampau.

“BMS ini akan memanfaatkan sekitar 1.5 juta orang penduduk di tiga negara. Misalnya, di Palestin dan Syria untuk mereka di kem-kem pelarian termasuk mereka di Turki dan Yaman.

“Bantuan yang berterusan ini juga adalah disebabkan oleh rasa keyakinan yang timbul dalam kalangan masyarakat untuk terus melihat mereka dapat menjalani kehidupan yang bahagia dengan nikmat yang boleh dikongsi bersama,” katanya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Awang Suffian, bantuan tersebut turut dilihat mampu memberikan mereka kehidupan yang lebih selesa dan bahagia.

“Bantuan-bantuan yang akan diberikan kepada saudara di sana adalah berbentuk kotak makanan, pemanas dan kerosin.

"Mereka juga memerlukan bantuan peralatan musim sejuk dan bantuan klinikal yang keseluruhannya bernilai RM500.

“Kami juga membuka kepada kemurahan hati untuk mereka yang ingin memyumbang kepada saudara-saudara kita di sana, marilah sama-sama kita menyumbang dalam kempen kali ini,” katanya.

Setiap tahun pada September hingga Februari, penduduk di bumi Syam berdepan dengan musim sejuk sehingga mencecah negatif darjah Celsius, dan ia sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai situasi kritikal.

Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun disediakan. - FOTO Aman Palestin

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen BMS dan ingin melakukan sebarang sumbangan, boleh melayari https://jommenyumbang.com/ms/home.