Amalkan sikap 'tabayyun', elak terpengaruh dengan dakwaan berunsur fitnah
Bernama
Jun 28, 2024 21:47 MYT
Jun 28, 2024 21:47 MYT
PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia diajak untuk mengambil pendekatan 'tabayyun' iaitu menyelidik dan mendalami kesahihan sesuatu dakwaan dan berita dalam isu membabitkan kepentingan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Merujuk kepada dakwaan seorang pempengaruh yang menuduh sistem pertahanan negara akan dikuasai oleh pihak asing kesan dari urus niaga membabitkan pelaburan syarikat BlackRock, Mohd Na'im turut menyeru agar umat Islam tidak terpengaruh dengan dakwaan pempengaruh tersebut yang jelas tidak bersandarkan fakta sebenar.
"Dakwaan ini hakikatnya telah menyeleweng dari fakta sebenar sebagaimana penjelasan terperinci oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini yang menyatakan pelaburan BlackRock tersebut tidak mempengaruhi aspek pemilikan dan pengurusan lapangan terbang dan pertahanan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut memandang berat terhadap dakwaan pempengaruh tersebut dan mengingatkan agar berhati-hati dengan pelbagai usaha segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, yang cuba mewujudkan rasa takut dan terancam dalam kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia, menggunakan sumber yang berunsur fitnah dan tidak sahih.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk kesekian kalinya ingin terus menegaskan sikap dan pendirian kerajaan Malaysia yang kekal bersolidariti bersama perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang berdepan dengan kekejaman Israel," katanya.
Anwar pada 21 Jun lepas turut mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) sebagai 'wayang politik'.
Menurut Anwar, mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan, namun pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.
-- BERNAMA