Amalkan konsep tabayyun sebelum kongsi maklumat - Anwar

Bernama
Julai 16, 2023 11:00 MYT
Anwar berkata amalan itu relevan, bagi memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan penuh berhemah dan berintegriti. - Gambar fail
IPOH: Amalan konsep tabayyun penting untuk menyemak atau memeriksa sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada individu lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata amalan itu relevan, bagi memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan penuh berhemah dan berintegriti, kerana dunia tanpa sempadan menjadikan perkongsian dan penyebaran maklumat dilakukan dalam kiraan detik sahaja.
"Yang benar dan salah bercampur-baur dalam dunia maya, sehingga adakalanya menimbulkan bibit persengketaan yang mampu menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.
"Sama-samalah kita mengamalkan konsep tabayyun sekali gus dapat membantu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat selain mengelak gejala fitnah," katanya dalam ucapan perasmian pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang merasmikan majlis tersebut bagi pihaknya.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Roslan Ariffin.
Anwar berkata dengan mengamalkan konsep tabayyun, secara tidak langsung ia melatih individu supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu kesimpulan.
Sementara itu beliau berkata permasalahan rakyat, yang saban hari terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, kini sedang ditekuni secara menyeluruh.
Justeru Perdana Menteri berkata dalam membantu rakyat mendepani situasi itu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif memastikan kehidupan rakyat berada di tahap yang selesa, melalui pelbagai inisiatif.
Beliau berkata segala inisiatif oleh kerajaan hari ini dirancang dengan teliti, untuk memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam mengecapi kesejahteraan dan terus terpelihara kebajikannya.
"Antaranya inisiatif kos sara hidup dan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah bagi memastikan bebanan rakyat dapat dibantu.
"Kerajaan juga mengambil langkah serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40, pada masa yang sama berusaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
"Sekurang-kurangnya 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar, miskin dan B40, akan dibantu menerusi inisiatif ini," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Tabayyun #kongsi maklumat #Perdana Menteri
;