Amalkan konsep 'semak dan imbang' bila Parlimen bersidang, bukan 'semak dan samun' - Ahmad Faizal
Firdaus Azil
Februari 26, 2021 22:11 MYT
Februari 26, 2021 22:11 MYT
KUALA LUMPUR: Kesemua ahli Parlimen, baik dari blok Kerajaan, Pembangkang, mahupun Bebas, harus memberi fokus sepenuhnya kepada perbincangan dan pendebatan berkaitan COVID-19 sewaktu sidang Dewan Rakyat kembali berjalan.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau khuatir ada pihak-pihak tertentu yang begitu mengharapkan sidang dibuka, tetapi bukan untuk semak dan imbang, tetapi menjadi ‘semak dan samun’.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu lagi, sekiranya sesi Parlimen hanya dipenuhi dengan pertelingkahan dan perkelahian sesama ahlinya, maka segala masalah yang melingkari negara iaitu COVID-19, serta kedudukan ekonomi yang meruncing tidak akan selesai.
“Kalau kita bersidang di Parlimen tetapi Perdana Menteri, dan Ahli-ahli Kabinet lebih banyak bertengkar dengan pembangkang dalam Parlimen, dengan keadaan orang luar nampak kita berkelahi di Parlimen tetapi masalah COVID-19, ekonomi rakyat tak selesai, ia lebih merosakkan negara daripada yang pemulihan kita harapkan.
“Pembangkang dan Kerajaan mesti pastikan keselamatan rakyat dijaga dahulu. Kemudian kalau nak bertengkar dalam Parlimen, nak berlawan dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, dipersilakan,” katanya lagi.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata demikian dalam Agenda AWANI kelolaan Editor Kanan Nazri Kahar yang disiarkan malam ini.
Pada 24 Februari lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.
Katanya lagi, Al-Sultan Abdullah menitah tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.
Titah Seri Paduka Baginda itu menerima sambutan baik dari kalangan pihak yang mendesak agar Kerajaan tidak menggunakan alasan Proklamasi Darurat untuk menghalang proses semak dan imbang tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau masih berpendapat Proklamasi Darurat amat perlu memandangkan beberapa kajian mendapati sekiranya tidak dilaksanakan, ia akan membawa impak COVID-19 yang lebih teruk kepada negara ini.
Namun beliau menyambut baik Titah Agong agar Parlimen perlu bersidang, dan mengharapkan ia dapat memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani COVID-19 serta ekonomi negara.
Selain itu, beliau berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai tempoh enam bulan untuk memaklumkan kepada Tuanku mengenai tarikh pembukaan Dewan Rakyat.
#Ahmad Faizal Azumu
#Ahli Parlimen Tambun
#Dewan Rakyat
#pertelingkahan
#Perdana Menteri
#pembangkang
#Yang di-Pertuan Agong
#Parlimen
#Muhyiddin Yassin
#pilihan raya umum
#rakyat
#keselamatan
#COVID-19