Amalkan Bahasa Melayu beradab, pelihara maruah bahasa kebangsaan - Pakar
Bernama
Oktober 5, 2024 22:39 MYT
Oktober 5, 2024 22:39 MYT
IPOH: Penggunaan Bahasa Melayu secara tidak berhemah, terutama di platform media sosial, semakin meresahkan masyarakat Malaysia.
Bahasa kebangsaan yang seharusnya menjadi simbol identiti dan perpaduan kini sering disalahgunakan untuk menghina serta mencerca, sekali gus menjejaskan maruah bahasa itu sendiri.
Dalam era digital ini, bahasa yang kasar dan tidak sopan boleh mencetuskan salah faham dan konflik, menunjukkan kepentingan untuk memupuk penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan beradab, sesuatu yang tidak boleh diabaikan.
Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr. Norliza Jamaluddin berkata penggunaan media sosial mendedahkan kecenderungan individu untuk memalukan dan melabel orang lain tanpa mengambil kira sensitiviti agama, bangsa, atau perasaan pengguna lain.
Menurutnya, situasi tersebut semakin jelas di platform media sosial, di mana ramai pengguna gagal mengawal diri ketika memberi komen, menyuarakan pendapat, atau menyebarkan maklumat, tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain.
"Sebagai contoh, dalam kes penceraian artis, ramai yang membuat andaian melulu dan menggunakan bahasa yang tidak sopan," katanya kepada Bernama.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila kata-kata tidak sopan itu disokong oleh pengguna lain, yang menggalakkan penyebaran bahasa kasar dan akhirnya mengganggu keharmonian sosial.
Menurut Norliza penggunaan bahasa yang kasar bukan sahaja memberi kesan negatif kepada individu yang menjadi sasaran, malah mewujudkan suasana sosial yang tidak sihat.
Katanya pendedahan berterusan kepada kata-kata negatif juga boleh menjejaskan kesejahteraan mental seseorang dan boleh membawa kepada kes yang lebih serius, termasuk risiko bunuh diri.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas individu yang menggunakan bahasa kebangsaan untuk tujuan hinaan dan makian, sebagai langkah mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan Bahasa Melayu di semua platform.
Sementara itu, Pensyarah Komunikasi Korporat Universiti Sultan Azlan Shah Dr. Salina Khalid berkata kepelbagaian platform media sosial kini menjadi antara faktor utama kepada kemerosotan penggunaan Bahasa Melayu yang tepat, walaupun media sosial berpotensi menjadi medium untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.
"Penggunaan Bahasa Melayu yang betul jarang dipraktikkan di media sosial, kerana tujuan utama platform tersebut adalah untuk menyampaikan mesej dengan cara yang mudah difahami, tanpa mengambil kira ketepatan bahasa.
"Namun, situasi berbeza dalam konteks persuratan, majlis rasmi, dan acara di dewan, di mana penggunaan Bahasa Melayu sering dipraktikkan dengan penuh adab dan tatacara," katanya.
Dr. Salina turut merujuk kepada pandangan tokoh ekonomi dan pendidikan negara Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, yang menyatakan bahawa penggunaan bahasa rojak seperti 'Manglish' menyebabkan seseorang tidak mahir sepenuhnya dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.
"Oleh itu, penggunaan bahasa campuran ini tidak membantu meningkatkan kemahiran seseorang, malah hanya menonjolkan kelemahan mereka dalam menguasai bahasa dengan baik, sedangkan bahasa adalah cerminan jiwa bangsa," katanya.
Beliau berkata tidak perlu menggunakan perkataan yang bombastik, cukup sekadar mengeja dengan penuh dan mengelakkan campuran dua bahasa seperti ''Manglish'' di media sosial, sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Bulan Oktober diraikan sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, satu inisiatif penting untuk memperkukuh dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024, bertemakan "Bahasa Jiwa Bangsa: Sayangi Bahasa, Sayangi Negara" akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak, esok.
-- BERNAMA