Amah disyaki didera meninggal dunia

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 11, 2018 19:22 MYT
Pembantu rumah warganegara Indonesia yang dipercayai didera majikannya dalam kejadian di Bukit Mertajam dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi. - Foto PDRM
Pembantu rumah warganegara Indonesia yang dipercayai didera majikannya dalam kejadian di Bukit Mertajam dilaporkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid yang mengesahkan perkara tersebut berkata mangsa meninggal dunia jam 4.30 petang tadi di Hospital Bukit Mertajam.
BACA: Amah didera majikan, dibiar tidur luar dengan anjing
Dalam laporan Astro AWANI awal hari ini, mangsa yang dikenali sebagai Adelina, 21 tahun, ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya oleh seorang wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing.
Nik Ros Azhan sebelum ini berkata pemeriksaan ke atas mangsa mendapati kesan lebam pada kepala dan muka, kecederaan luka bernanah pada tangan dan kedua-dua belah kaki.
Wanita yang sudah dua tahun bekerja di negara ini sebelum ini dirawat di Hospital Bukit Mertajam susulan kecederaannya yang agak serius.
Susulan itu, polis menahan pasangan adik-beradik berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan mangsa kira-kira jam 8.05 malam Sabtu.
Kedua-dua suspek yang tinggal bersama ibu mereka yang berusia 60 tahun direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.
Kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 kanun yang sama kerana membunuh.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
#amah didera #Hospital #Hospital Bukit Mertajam #mangsa #meninggal dunia #polis #Seberang Perai #tidur dengan anjing #wanita
;