AMAF 2023 tumpu usaha perkukuh ASEAN sebagai 'bakul makanan dunia'

Israr Khalid
Oktober 5, 2023 15:30 MYT
Menteri-menteri pertanian dan perhutanan ASEAN pada majlis perasmian AMAF 2023 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 4 Oktober 2023. -Foto AMAF 2023
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2 hingga 6 Oktober ini memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai ‘bakul makanan dunia.’
Sebagai tuan rumah, Malaysia menyatakan komitmen untuk melipatgandakan usaha memacu kerjasama lebih erat antara negara anggota bagi memelihara keterjaminan makanan di rantau ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, ASEAN perlu berganding bahu untuk mengharungi cabaran hari ini dan ketidaktentuan masa depan dalam sektor pertanian dan perhutanan.
“Pertanian tidak sekadar satu sektor ekonomi, ia adalah cara hidup ASEAN. Dalam lapan daripada 10 negara anggota, agrikultur pertanian adalah asas kepada ekonomi mereka.
“Bagaimanapun ia berdepan ancaman daripada perubahan iklim, penangkapan ikan berlebihan, amalan pertanian tidak mampan, pembaziran makanan dan banyak lagi.
“Ia adalah tugas kita untuk memelihara sektor ini, satu sumber makanan dan pendapatan, sambil menguruskan sumber terhad kita dengan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap merasmikan AMAF 2023 di Grand Ballroom Hotel Grand Hyatt, di sini, pada Rabu.
Dengan tema tahun ini “Growing Together: Advancing ASEAN Agriculture and Forestry for Sustainable Development,” Foong Hin menyatakan bahawa Malaysia akan meneroka potensi untuk kerjasama yang lebih dalam dan bermakna dengan rakan-rakan dialog.
“Saya yakin kita dapat mencapai hasil yang ketara dalam beberapa har ini ketika kita memperbaharui usaha sedia ada dan membuat komitmen baharu untuk menguatkan AMAF, mencipta kerjasama yang lebih luas dan dalam dengan rakan dialog kita.
“Kerjasama ini akan menjadi perisai pelindung daripada ketidaktentuan dan cabaran, memandu kita menuju pertumbuhan, kemajuan dan kemakmuran buat rakyat kita.”
Malaysia sentiasa menjadi penyokong tegar inisiatif-inisiatif ASEAN, di mana ketika ini negara sedang melaksanakan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0); Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030); dan Dasar Perhutanan Malaysia 2021; yang bermatlamat memacu perubahan dalam sektor pertanian dan perhutanan, juga melindungi tidak hanya sekuriti makanan masa depan serta sumber lestari malah kebajikan petani sambil memelihara alam sekitar.
Tahun ini merupakan kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah AMAF selepas edisi ke-25 (2003) dan edisi ke-35 (2013).
Hari ketiga AMAF 2023 juga menyaksikan mesyuarat dua hala Malaysia-Jepun, Malaysia-Thailand, dan Malaysia-Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), yang disertai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Berlangsung selama lima hari, AMAF 2023 dihadiri menteri-menteri pertanian dan perhutanan serta delegasinya dari Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Kemboja, Laos, Filipina, Myanmar dan Vietnam, sementara Timor Leste sebagai pemerhati serta China, Jepun dan Korea Selatan sebagai anggota Negara ASEA Campur Tiga.
AMAF 2023 yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Oktober di ibu negara disertai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Mesyuarat ini dianjurkan setiap tahun dengan tanggungjawab penganjuran ditetapkan secara penggiliran mengikut abjad negara-negara ASEAN.
Tumpu usaha perkukuh ASEAN sebagai ‘bakul makanan dunia’
#ASEAN #AMAF 2023 #Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutana #bakul makanan dunia
;