Alvin perlu ada merit dan 'penjamin' jika mahu mendapat suaka politik
Hamzah Hamid
Disember 8, 2014 11:41 MYT
Disember 8, 2014 11:41 MYT
Tindakan penulis blog kontroversi, Alvin Tan, yang terus menghina pentadbiran negara ini dan institusi raja mendapat reaksi tegas daripada kerajaan Malaysia yang mahu menarik balik pemilikan pasport antarabangsanya, seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Alvin kini yang dipercayai berada di Los Angeles, Amerika Syarikat kerana melarikan diri daripada menjalani proses perbicaraan, bukan sahaja tidak terpukul dengan tindakan itu, malah mencabar pihak berkuasa agar segera melaksanakannya.
Menurut Profesor Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah dari Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, dalam kes individu yang ditarik balik pasport antarabangsanya seperti Alvin, dia mempunyai beberapa pilihan.
“Pertama, jika dia masih berminat menjadi warganegara Malaysia, dia perlu kembali ke tanah air dan menyerah diri. Sejurus sahaja tiba melalui pintu masuk negara, misalnya di lapangan terbang, dia akan segera ditahan.
“Kedua, dia mungkin boleh memohon suaka politik daripada pihak berkuasa negara yang sedang dia tinggal kini. Dalam hal ini, individu tersebut akan mengatakan bahawa dia tidak boleh pulang kerana bimbang keselamatan dirinya terancam,” ujar beliau.
Selain itu, menurut Mohd Kamarulnizam, Alvin mungkin akan pergi ke mana-mana negara lain yang bersimpati terhadap nasibnya untuk memohon perlindungan atau suaka politik.
Namun begitu, individu yang mahu berbuat demikian perlu membentangkan kesnya untuk mendapat perlindungan suaka politik tersebut.
“Dia juga memerlukan promoter bagi membawa kesnya ke pihak berkuasa tersebut. Dalam kemungkinan ini, siapakah nanti bakal menjadi promoter untuk menjamin kesahihan kesnya itu?” kata beliau, sambil menambah, untuk berbuat demikian Alvin perlu memberi justifikasi tentang keperluannya mendapatkan suaka politik.
Tambah Mohd Kamarulnizam, berkenaan dokumen perjalanan yang diberikan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dalam pemberian suaka politik, badan dunia itu akan melalui proses pertimbangan dan tidak akan membuat keputusan sewenang-wenangnya.
“Individu seperti Alvin perlu ada merit atas permohonannya. Ini termasuklah menilai sama ada kepulangannya nanti akan mengancam keselamatan hingga mendatangkan kecederaan kepadanya.
“Namun, Malaysia bukan negara polis yang membiarkan kemungkinan seperti itu terjadi. Kita ada saluran undang-undang dan undang-undang kita dihormati negara-negara lain.
Kerakyatan adalah keistimewaan, bukan hak
Sementara itu, peguam Mohd Yusmadi Yusoff ketika dihubungi Astro AWANI untuk mengulas perkembangan kes tersebut memberitahu, soal kerakyatan bukanlah hak bagi seseorang individu tetapi ia adalah keistimewaan.
“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia adalah sebagai reaksi tindakan yang dilakukan oleh Alvin iaitu dia lari dari proses perundangan dan kemudian memburuk-burukkan nama tanah air di negara luar,” ujar Mohd. Yusmadi.
Begitupun, menurutnya, isu yang timbul di sini adalah mengapa Alvin tidak mempercayai sistem kehakiman negara dan bagaimana pula kerajaan Malaysia hendak menjawab tentang hal ketidakpercayaan dalam proses pengadilan tersebut.
Mohd. Yusmadi berkata, kebiasaannya negara yang mahu memberikan perlindungan suaka politik kepada seseorang individu seperti Alvin akan mempertimbangkannya berdasarkan kes-kes penindasan politik, bukan ekonomi.
“Dalam kes Alvin, dakwaannya yang mengatakan dia menjadi mangsa politik dan tidak dapat pengadilan yang sewajarnya mungkin boleh diguna pakai. Namun, setakat ini, saya melihat dia tidak ada asas untuk membuktikan perkara tersebut.
“Paling terkilan, dia menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan teman wanitanya di tanah air untuk berdepan proses perundangan sendirian. Dalam hal ini, saya melihat dia hanya seorang yang mengambil kesempatan untuk menyelamatkan dirinya sahaja,” ulas Mohd Yusmadi.
#akta hasutan
#Alvin Tan
#blogger
#kontroversi
#Malaysia
#pasport antarabangsa
#suaka politik
#Zahid Hamidi