Alvin dan Vivian dibenar ikat jamin
Astro Awani
Julai 25, 2013 16:33 MYT
Julai 25, 2013 16:33 MYT
Mahkamah Tinggi membenarkan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee diikat jamin 30,000 setiap seorang dengan dua penjamin.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin, yang membenarkan ikat jamin itu bagaimanapun mengenakan tiga syarat ketat, termasuk menahan pasport mereka dan dilarang menggunakan telefon komunikasi berangkai.
Kedua-dua tertuduh juga dilarang memuat naik sebarang artikel dan gambar yang boleh menghasut dan menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Peguam bela, Chong Joo Tian berkata syarat ketat tersebut akan dipatuhi anak guamannya.
“Mahkamah telah mengenakan lagi satu syarat tambahan iaitu anak guam saya perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali,” kata Chong.
18 Julai lalu Alvin Tan dan Vivian Lee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan.
Ia berhubung tindakan mereka mempersendakan umat Islam dan Ramadan dalam Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka.
Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim sebelum ini tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas sebab kepentingan awam.
Mereka kemudiannya memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Sebutan semula kes di tetapkan 23 Ogos 2013.