Alvin dan Ali tidak boleh 'lari' jika kewarganegaraan tidak digugur: Dr Azmi
Wan Syamsul Amly
Disember 10, 2014 09:08 MYT
Disember 10, 2014 09:08 MYT
Keputusan untuk tidak menggugurkan kerakyatan blogger kontroversi Alvin Tan dan aktivis politik, Ali Abdul Jalil membuktikan kematangan kerajaan di mata negara luar.
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azmi Hassan berkata, ia sekaligus memberi ruang kepada dunia luar memahami sifat perikemanusiaan negara kepada warganya.
"Kalau kita perhatikan, ia bertujuan memberi ruang kepada dunia luar memahami walau bagaimanapun kita dikritik, kerajaan masih ada sifat perikemanusiaan walaupun kedua-duanya bersikap provokasi.
"Apabila negara bersikap bertimbang rasa, dunia luar akan melihat situasi di mana negara masih bersikap terbuka dengan isu ini walaupun ramai yang kecewa dengan tindakan Alvin dan Ali," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Azmi mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberitahu kerajaan tidak akan menggugurkan kerakyatan Alvin dan Ali selain tidak berhasrat membuat permohonan ekstradisi kedua-dua mereka ke Malaysia bagi menghadapi tindakan undang-undang.
Tegas Dr Azmi lagi, faktor mereka berdua masih boleh dibawa ke negara ini dilihat menjadi sebab yang menjadikan kerajaan tidak melucutkan kerakyatan Alvin dan Ali.
"Pelucutan kerakyatan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ada faktor yang mempengaruhi untuk kerajaan membawa kes mereka ke sini.
"Peguam Alvin dan Ali juga tahu hal ini, jika kerakyatan Alvin dan Ali dilucut, mereka berdua akan terus 'hilang' dan ini yang ditunggu mereka sendiri," jelasnya.
Mengulas isu yang sama, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Lokman Noor Adam memberitahu keputusan diambil Ahmad Zahid dilihat langkah tidak memberi reaksi melampau terhadap sesuatu isu.
"Tindakan tegas sememangnya perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menimbulkan ketegangan kaum dan memperlekeh institusi diraja. Namun kita tidak seharusnya terperangkap dengan strategi Alvin dan Ali untuk mencari publisiti murahan.
"Kita sudah terlalu banyak mempromosi mereka berdua. Sebaik sahaja tindakan diambil, berita mengenai mereka berdua harus dihentikan supaya cita-cita mereka untuk menjadi hero pembangkang tidak kesampaian," tegasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan, Syahredzan Johan di dalam catatan twitternya menjelaskan, kewarganegaraan seseorang tidak boleh dilucutkan atas dasar tidak setia bagi majoriti rakyat negara ini.
Syahredzan turut menegaskan Perkara 25 di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diguna pakai terhadap warganegara yang bukan warganegara sejak lahir.
Perkara 25 (1) (a) menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan.