Alumni UIAM terlibat misi kemanusiaan kongsi pengalaman
Astro Awani
Disember 17, 2020 12:43 MYT
Disember 17, 2020 12:43 MYT
KUALA LUMPUR: Satu webinar bertajuk 'Mencari erti Kemanusiaan: Sumbangan Alumni UIAM dalam Pembangunan Kapasiti dan Pembangunan Lestari' akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Program anjuran Bahagian Perhubungan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak ini akan diadakan pada Ahad, 20 Dis, bermula jam 2.30 petang.
Orang ramai khususnya alumni UIAM, pelajar universiti, aktivis misi kemanusiaan serta aktivis masyarakat adalah dijemput untuk menyertai program ini.
"Objektif webinar ini adalah untuk mendidik nilai-nilai kemanusiaan dan memberi lebih kefahaman dalam kalangan pelajar, dan masyarakat Malaysia umumnya, mengenai kepentingan penglibatan secara individu atau berkumpulan di dalam aktiviti kemasyarakatan.
"Pihak kami juga terpanggil untuk berkongsi kejayaan yang telah dikecapi Alumni UIAM menerusi penglibatan mereka dalam misi kemanusiaan, sama ada di dalam atau di luar negara.
"Kami juga berharap dengan adanya webinar ini dapat memberi kesedaran dan dorongan kepada belia untuk melibatkan diri dalam misi kemanusiaan dan pembangunan lestari," menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Perhubungan Alumni UIAM.
Panelis yang akan membincangkan tajuk ini terdiri daripada alumni UIAM yang terbabit secara langsung dengan misi kemanusiaan.
Mereka terdiri daripada Syarifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asian Youth Network Resources; Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen, Pakar Kesihatan Awam, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia; Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, CEO Global Peace Mission merangkap Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Dr Shahrizal Azwan Samsudin, Setiausaha Agung, Malaysian Relief Agency.
Webinar akan dikendalikan melalui platform Zoom.
Semua dijemput untuk turut serta.
#Islam
#pelajar
#Belia
#misi kemanusiaan
#alumni UIAM
#UIAM
#bekas pelajar
#aktivis kemanusiaan
#Alumni
#webinar
#aktiviti kemasyarakatan