Alumni UIAM santuni mahasiswa terkesan COVID-19

Astro Awani
Mei 8, 2021 14:41 MYT
Program Alumni Iftar For Students mendapat sambutan baik termasuk dari pihak luar yang turut menyumbang juadah berbuka puasa untuk mahasiswa UIAM. - Foto UIAM
KUALA LUMPUR: Bahagian Perhubungan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tampil menghulurkan bantuan, meredakan keresahan pelajar yang terkandas di kampus susulan wabak COVID-19.
Beberapa aktiviti dijalankan bagi sama-sama membantu memastikan kebajikan mahasiswa terus terjaga sepanjang bulan Ramadan ini.
Antaranya termasuk program ‘Alumni Iftar For Students’ yang dijalankan baru-baru ini bagi mengumpul dana melalui tabung Iftar dan tabung IIUM Alumni Scholarship and Financial Assistance (ALSAFA).
Ia menerima sambutan baik termasuk dari pihak luar, antaranya ikhlas.com yang menyumbang sebanyak 300 bungkusan juadah berbuka puasa kepada mahasiswa UIAM.
"Program Iftar sepanjang bulan Ramadan ini juga membuka peluang kepada para alumni UIAM dan orang ramai untuk bersedekah menerusi tabung Iftar dan ALSAFA yang diuruskan Bahagian Perhubungan Alumni UIAM.
"Ini juga menjadi salah satu alternatif untuk alumni menyumbang semula kepada universiti mereka.
"Program Iftar ini hanyalah salah satu daripada banyak lagi program di mana jumlah yang mereka sumbangkan dapat dimanfaatkan," menurut satu kenyataan dikeluarkan bahagian itu hari ini.
Tambahnya, program berkenaan berjaya membuka jalan kepada pihak universiti dan Bahagian Perhubungan Alumni untuk mengendalikan lebih banyak program bermanfaat dalam membantu pelajar di UIAM.
#Universiti Islam Antarabangsa Malaysia #Ramadan #pelajar #COVID-19 #puasa #iftar #UIAM #IIUM #Bahagian Perhubungan Alumni UIAM #Alumni
;