Alumni sedia wujud jawatankuasa perhalusi cadangan pembinaan Wisma GPMS

Bernama
Oktober 7, 2023 00:21 MYT
Syed Anuar berkata komitmen tersebut dizahirkan berikutan fakta bahawa setelah 75 tahun penubuhannya, gabungan itu masih lagi perlu menyewa dan menumpang tanpa memiliki bangunan sendiri untuk beroperasi. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedia bekerjasama dengan gabungan itu untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi memperhalusi dan mencari jalan terbaik merealisasikan cadangan pembinaan Wisma GPMS.
Presiden Alumni GPMS Kebangsaan Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata komitmen tersebut dizahirkan berikutan fakta bahawa setelah 75 tahun penubuhannya, gabungan itu masih lagi perlu menyewa dan menumpang tanpa memiliki bangunan sendiri untuk beroperasi.
"Sesungguhnya mengungkap tidak semudah melaksanakannya namun jika ia tidak diungkapkan, sudah pasti masa akan berlalu tanpa apa-apa usaha yang konkrit.
"Impian dan harapan saya, marilah kita memulakannya sekarang walaupun mungkin di saat tersergamnya Wisma GPMS itu nanti kita telah kembali mengadap Dia Yang Maha Berkuasa," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Alumni GPMS Kebangsaan kali ke-10 di sini pada malam Sabtu.
Turut hadir Timbalan Presiden Alumni Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Abdullah Abu Bakar mewakili Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Presiden Alumni MBM dan Presiden GPMS Muhd Fazreen Ismadi.
Syed Anuar juga berharap Alumni GPMS dapat dipertimbang sebagai ahli badan gabungan bersama dengan Alumni MBM untuk memudahkan pergerakan program yang dirancang sekali gus membantu pertubuhan belia lain.
"Kita lihat senario baharu akan berlaku dalam kepimpinan belia di masa depan apabila akta mengehadkan umur belia kepada 30 tahun pada 2026... kita melihat bahawa alumni itu akan mengambil tempat yang cukup penting untuk membantu badan-badan belia ini," katanya.
-- BERNAMA
#kepimpinan belia #Wisma GPMS #pergerakan program #bangunan sendiri
;