Alumni PTD nafi bekas KSN Abdul Halim meninggal dunia

Bernama
September 16, 2024 14:45 MYT
Alumni PTD mengesahkan bahawa berita tersebut adalah tidak benar.
KUALA LUMPUR: Urusetia Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) menafikan laporan kematian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Abdul Halim Ali yang tular di media sosial hari ini.
Urusetia Alumni PTD dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima pertanyaan mengenai dakwaan kematian Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) sejak semalam hingga pagi ini, dan mengesahkan berita itu tidak benar.
"Alumni PTD mengesahkan bahawa berita tersebut adalah tidak benar," menurut kenyataan itu.
Beberapa portal media melaporkan mengenai pemergian bekas KSN itu pada usia 81 tahun, pagi tadi.
Sementara itu, Abdul Halim dalam kenyataan dikeluarkan oleh Sedania Innovator Bhd (Sedania) memaklumkan beliau masih hidup dan berada dalam keadaan sihat.
Beliau yang juga pengerusi Sedania berkata berita palsu itu telah menyebabkan keadaan panik dan tekanan yang tidak perlu kepada ahli keluarganya serta orang tersayang.
"Sejak malam tadi, saya telah menerima banyak panggilan daripada kenalan rapat, rakan dan sahabat yang hanya menambahkan kegusaran.
"Sama seperti Sedania, saya masih kuat dan sihat! Saya sungguh menikmati rutin berjalan pagi setiap hari dan tidak sabar menantikan perjalanan yang menarik di masa akan datang," katanya.
Abdul Halim berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera untuk mengenal pasti individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin tentang kematiannya itu.
Pada masa sama, Sedania meminta pihak media menarik balik laporan tidak berkenaan itu dan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada Abdul Halim atas kesulitan dan gangguan yang telah berlaku.
Menurut Sedania, pihaknya juga dalam proses untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Pihak kami juga telah memohon agar semua media melaporkan berita palsu ini segera menarik balik laporan dan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada Tan Sri atas kesulitan dan gangguan yang telah berlaku.
"Abdul Halim secara peribadi mengucapkan terima kasih atas doa dan ucapan baik yang diterima namun menekankan bahawa khabar angin tidak berasas ini harus dihentikan segera," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Urusetia Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik #Bekas Ketua Setiausaha Negara #Abdul Halim Ali #nafi meninggal dunia
;