Alumni Masscomm UiTM tidak setuju penggabungan fakulti
Astro Awani
Oktober 5, 2022 10:00 MYT
Oktober 5, 2022 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Alumni Masscomm Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak bersetuju mengenai keputusan universiti menggabungkan fakulti itu dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik.
Menurut Presidennya, Basree Rakijan, sebarang penggabungan perlu dibincangkan terlebih dahulu bagi memberi kefahaman mendalam untuk mengekalkan imej serta penjenamaan fakulti yang telah dibina selama lebih lima dekad.
Katanya, Alumni Masscomm merancang mengadakan perbincangan dengan UITM bersama-sama pemegang taruh lain serta para wakil daripada pelbagai organisasi dalam industri.
“Kami tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana ia akan melemahkan pendidikan asas komunikasi massa iaitu menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
"Pelajar komunikasi hendaklah dilatih dengan kepakaran yang diamalkan menerusi pelbagai media seperti akhbar, majalah, radio, televisyen, filem, media sosial dan internet.
“Malah sebenarnya, matapelajaran yang sepatutnya diberikan penekanan adalah yang berkaitan dengan sains sosial dan kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Penstrukturan semula pelbagai fakulti bertujuan menjimatkan kos itu telah diumumkan oleh Naib Canselor UiTM Prof Datuk Roziah Mohd Janor di dalam ucapan beliau pada majlis makan malam ulangtahun ke-50 fakulti tersebut baru-baru ini.
Menurut Naib Canselor itu, entiti baharu tersebut akan dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.
Mengulas lanjut, Basree berkata, graduan Masscomm UiTM telah membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin industri di dalam bidang percetakan, penyiaran, periklanan, perhubungan awam, filem dan media sosial.
Jelasnya, dalam persekitaran di mana gejala salah maklumat berleluasa adalah penting para pelajar dilatih sebagai komunikator yang baik.
“Walaupun pengajian komputer dan informasi itu sangat berfaedah, tetapi kepada para pelajar komunikasi ia adalah satu matapelajaran teknikal yang hanya menjadi alat dalam penciptaan kandungan.
"Tambahan pula, kebelakangan ini pengamal media telahpun menerimapakai penggunaannya," ujarnya.