Alumni KV Likas kongsi momen terima kunjungan Ratu Elizabeth II pada 1972

Astro Awani
September 19, 2022 18:46 MYT
Mengimbau kembali kenangan terbabit, Astro AWANI berjaya menjejaki semula beberapa bekas pelajar Kolej Vokasional Likas yang pernah bertemu dengan ratu terkenal dunia itu ketika kunjungannya ke kolej berkenaan pada 28 Februari 1972. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Mungkin ramai juga tidak mengetahui ratu paling lama berkhidmat dalam sejarah Britain, mendiang Ratu Elizabeth II pernah berkunjung ke Sabah bagi lawatannya bersama suami, mendiang Putera Philip dan anak perempuan mereka, Puteri Anne.
Difahamkan antara lokasi lawatan keluarga Diraja British berkenaan adalah Kolej Vokasional Likas yang pada ketika itu dikenali sebagai Sekolah Teknik Likas selain Hospital Queen Elizabeth dan Taman Prince Philip, Tanjung Aru.
Mengimbau kembali kenangan terbabit, Astro Awani menjejaki semula beberapa bekas pelajar Kolej Vokasional Likas yang pernah bertemu dengan ratu terkenal dunia itu ketika kunjungannya ke kolej berkenaan pada 28 Februari 1972.
Steven Lee, 71 tahun ketika ditemui menyatakan keterujaanya apabila berpeluang memberi penerangan berkaitan projek elektrik yang dipamerkan kepada Ratu Elizabeth.
“Ratu Elizabeth datang dan semuanya cukup teruja, baginda ada masuk ke kelas kami dan baginda sempat bertanyakan beberapa persoalan kepada kami mengenai subjek yang diajar pada waktu itu.
“Namun sekarang, semuanya telah berlalu dan ia masih lagi segar dalam ingatan saya, setiap hari saya berfikir tentang ini," kata Steven ketika ditemui pada Isnin.
Pemakaman Ratu | Alumni Kolej Vokasional Likas kongsi momen
Sementara itu, lain pula dengan pengalaman dilalui seorang lagi bekas pelajar, Syed Husin Habib Omar, 71, yang berpeluang bertemu empat mata serta berkomunikasi dengan Puteri Anne.
Syed Husin berkata, walaupun tiada peluang berinteraksi dengan ratu namun kesempatan bercakap anak perempuan tunggal kepada pasangan diraja itu pastinya antara kenangan tidak mampu dilupakan.
“Ada dua asrama terpilih untuk dilawati oleh Puteri Anne, satu asrama itu hanya dilawati dari luar sahaja namun asrama kami A4 dikunjungi Puteri Anne.
“Saya pula dipilih salah satu pelajar yang dibenarkan bercakap dengan Puteri Anne, tidak terfikir gementarlah... takutlah... tahu lah masa itu kita punya pertuturan dalam Bahasa Inggeris pun tidaklah baik mana, tapi kita pun sudah diajar untuk menjawab apa yang ditanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Kolej Vokasional Likas, Mokhtar Ibrahim memaklumkan pihaknya membuka sebuah galeri di kolej berkenaan sekitar lima tahun lalu bukan sahaja untuk memperingati sejarah kedatangan Ratu Elizabeth II dan keluarga tetapi galeri sama turut menyimpan pelbagai gambaran kenangan lawatan beberapa pemimpin utama negara serta negeri kolej itu.
“Queen Elizabeth II pernah sampai ke Kolej Vokasional Likas pada 28 Februari 1972, pada waktu ini saya difahamkan Keluarga Diraja datang bersama untuk merasmikan Hospital Queen Elizabeth.
“Jadi kami di KV Likas telah mengumpulkan bahan-bahan sejarah berkaitan dengan keluarga diraja ini untuk menjadi tatapan generasi baru di sini agar mereka berasa bangga yang tempat mereka belajar ini pernah dikunjungi oleh seorang pemerintah yang hebat dan paling lama memerintah.
“Jadi, kami cubalah mendedahkan kepada pelajar agar menjadi inspirasi kepada semua pelajar untuk memimpin negara pada masa akan datang,” tambah Mokhtar.
#Ratu Elizabeth II #Sabah #kolej vokasional #Tanjung Aru #Likas
;