Alukan pelaksanaan program sekolah pemimpin masa depan - Al-Sultan Abdullah
Sahlizah Mohamed
Mac 11, 2019 13:11 MYT
Mac 11, 2019 13:11 MYT
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalu-alukan pelaksanaan program sekolah pemimpin masa hadapan.
Titah Baginda, ia bagi meningkatkan jati diri dan daya kepimpinan anak muda yang berpotensi.
“Sesungguhnya pembangunan belia penting untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang dapat membina negara yang gemilang dan berwibawa,” titah Al-Sultan Abdullah.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan titah diraja selepas merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 pada Isnin.
Yang di-Pertuan Agong turut menyeru semua pihak mencetuskan idea dan menggembleng tenaga bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.
Titahnya, ia adalah untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi seiring dengan dasar industry4wrd (industry forward) bagi memacu industri negara agar lebih berdaya saing dalam era revolusi perindustrian keempat.
“Pendidikan yang berkualiti adalah penting sebagai ejen perubahan bagi merapatkan jurang sosio-ekonomi dalam masyarakat.
“Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global dengan terus memperkasakan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM serta pendidikan teknikal dan graduan pendidikan teknikal dan latihan vokasional atau TVET.
“Kerajaan beta juga akan membangunkan bidang-bidang strategik termasuk robotik dan kecerdasan buatan yang mampu menjana kekayaan baharu untuk negara,” titahnya.
Kerjasama dengan pihak industri akan digembleng bagi melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.
#Al-Sultan Abdullah
#Belia
#Dewan Rakyat
#kerajaan
#Malaysia
#Masyarakat
#Matematik
#Parlimen
#rakyat
#sekolah pemimpin
#sosio-ekonomi
#STEM
#titah agong
#titah diraja
#TVET
#Yang di-Pertuan Agong