Altimet rayu kerajaan tegas perangi cetak rompak digital

Hasimi Muhamad
Julai 2, 2024 08:00 MYT
Altimet berkata cetak rompak digital kini telah menjadi satu epidemik dan ancamannya lebih besar terhadap kelestarian industri hiburan tanah air. - Foto Instagram/@altimet
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad merayu kerajaan agar bertindak lebih tegas membanteras cetak rompak digital yang disifatkannya sebagai semakin ganas merosakkan industri kreatif tanah air.
Dalam surat rayuan kepada Kerajaan Malaysia, Syed Ahmad yang juga dikenali sebagai Altimet berkata cetak rompak digital kini telah menjadi satu epidemik dan ancamannya lebih besar terhadap kelestarian industri hiburan tanah air.
Mengambil contoh filem Sheriff: Narko Integriti, beliau berkata filem yang mencatatkan kutipan tertinggi tahun ini itu juga tidak terkecuali berdepan nasib sama apabila sejumlah besar babak ditonton secara tidak sah.
“Saya difahamkan bahawa meskipun Astro telah berusaha keras untuk membanteras jenayah ini dengan menutup 30 kumpulan Telegram yang mempunyai lebih 200,000 pelanggan, pencurian Sheriff: Narko Integriti masih berterusan, seolah-olah ia tidak dapat dibendung lagi.
"Bukan Astro sahaja yang mengalami permasalahan ini. Premier League turut bekerja keras dalam melawan cetak rompak digital," katanya dalam surat berkenaan pada Isnin.
Penyanyi dan komposer itu menambah kesan cetak rompak digital adalah luas dan ia tidak hanya menjejaskan pengarah filem, tetapi juga pelakon, kru, dan semua yang terlibat dalam seluruh ekosistem pengeluaran dan pengedaran kandungan.
Tegasnya, sektor kreatif mencipta pekerjaan, mendorong inovasi, serta meningkatkan jejak budaya negara ke peringkat global.
"Setiap wang ringgit yang hilang kepada cetak rompak digital adalah wang ringgit yang boleh dilaburkan semula dalam produksi baharu, pengutuhan pemasaran, atau mempelopori kemajuan teknologi dalam industri.
"Perjuangan melawan cetak rompak digital bukan hanya berkisarkan tentang usaha untuk melindungi keuntungan pembuat filem. Ia adalah perihal menegakkan prinsip hak harta intelek, yang merupakan asas kepada ekonomi yang berfungsi serta adil," katanya lagi.
Begitu pun, Altimet berkata situasi tersebut tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di negara-negara luar dan kerajaan mereka sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang isu cetak rompak digital itu.
"Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap cetak rompak digital dan melaksanakan langkah-langkah yang ketat serta memastikan penguatkuasaan yang lebih kukuh.
"Kita perlu mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh Indonesia dan Filipina. Kita mesti mewujudkan persekitaran yang selamat untuk industri kreatif kita.
"Setakat merayakan kejayaan sahaja tidak mencukupi; kita harus turut melindungi dan memastikan kelestarian kejayaan kita. Masa depan industri kreatif Malaysia bergantung kepada tindakan tegas dan segera," kata Altimet.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan langkah-langkah yang serupa dengan negara jiran seperti penguatkuasaan yang lebih kuat terhadap undang-undang sedia ada, peningkatan penalti bagi pesalah, serta kerjasama dengan syarikat platform kandungan untuk mengenal pasti dan menutup operasi cetak rompak digital.
"Tolonglah perjuangkan isu ini. Tolonglah berdiri teguh melawan cetak rompak digital dan lindungi integriti demi masa depan kreativiti Malaysia.
"Industri kreatif kita bukan sahaja perlu bertahan tetapi juga berkembang supaya ia bukan sahaja dapat menyumbang kepada ekonomi, malah, memperkayakan warisan budaya kita," katanya.
#Altimet #cetak rompak digital #Surat rayuan Altimet #Filem Sheriff Narko Integriti
;