Altantuya: Australia tolak permohonan hantar pulang Sirul
Astro Awani
Januari 15, 2015 16:16 MYT
Januari 15, 2015 16:16 MYT
Australia akan menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, kerana ia melibatkan hukuman mati, lapor The Sydney Morning Herald.
Jurucakap Jabatan Peguam Negara mengatakan undang-undang ekstradisi Australia tidak membenarkan seseorang diserahkan kepada negara lain untuk kesalahan yang boleh dihukum dengan kematian melainkan negara ini telah memberikan suatu aku janji Australia bahawa hukuman mati tidak akan dijalankan.
"Australia menentang hukuman mati. Kita menentang hukuman mati bagi di Australia dan di luar negara," laporan itu dipetik.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Sirul dan ketua inspektor Azilah Hadri yang sebelum ini didapati bersalah dalam kes pembunuhan model asal Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Panel hakim mahkamah persekutuan yang mendapati Sirul dan Azilah bersalah dan dikenakan hukuman gantung akibat kesalahan tersebut .
Sirul tidak hadir ke mahkamah ketika hukuman tersebut dijatuhkan dan dipercayai berada di Australia sejak enam bulan yang lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mohmad Salleh berkata Malaysia akan mendapatkan kerjasama daripada Polis Persekutuan Australia untuk menangkap Sirul yang, menurut rekod imigresen, ke Australia pada bulan Oktober.
Sementara Sinar Harian melaporkan, ibu Sirul, Piah Ahmad atau lebih mesra dipanggil Mak Long Piah berdoa supaya anaknya itu kembali semula ke tanah air.
“Apa yang boleh Mak Long cakap? Hukuman sudah diputuskan hakim, sudah dijatuhkan mahkamah.
“Dah lama kami terputus hubungan. Kali terakhir kami berjumpa tahun lalu semasa dia datang jemput anaknya.
“Sebagai ibu, siapa yang tidak sedih mengenangkan nasib anak, tambahan pula ketika ini Mak Long tidak tahu di mana dia berada.
“Mak Long reda dengan keputusan yang sudah ditetapkan mahkamah. Itu ketentuan Tuhan. Sudah bahagian dia begitu, tapi kalau boleh Mak Long nak dia pulang," Piah dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian itu juga memetik Piah sebagai berkata anaknya memberitahu tindakan yang dilakukan atas arahan pihak lain.
“Sirul pernah cakap pada Mak Long, tindakannya itu dilakukan atas arahan seseorang dan dia terpaksa mengikutnya.
“Tidak kira apa pun yang berlaku, sebagai seorang ibu, Mak Long harap dia dapat pulang semula ke pangkuan keluarga. Saat ini itu saja yang Mak Long mahu,” katanya.
Manakala akhbar yang sama melaporkan, Peguam kanan, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah menganggap pemergian Sirul ke Australia sebagai sesuatu yang menghairankan.
"Sungguh pun (jika tertuduh dari luar negara) menang kes itu (di Mahkamah Rayuan), pihak pendakwaan akan guna akta tersebut. Bagi saya, apabila Sirul Azhar telah pun dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan (pada Ogos lalu), dia tidak salah dan rayuannya diterima.
"Cuma saya hairan kenapa dia boleh ke luar negara dan Jabatan Imigresen tidak diberitahu yang dia tidak boleh keluar," Dr Muhammad Shafee dipetik sebagai berkata.