Altantuya: Atas dasar apakah Sirul ditahan, soal peguambela Kamarul Hisham
Hamzah Hamid
Januari 21, 2015 15:03 MYT
Januari 21, 2015 15:03 MYT
Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan imigresen di Queensland, Brisbane sudahpun menghubungi pasukan peguambelanya dan mengarahkan untuk membuat sebarang tindakan undang-undang yang berkaitan, menurut peguam Kamarul Hisham Kamaruddin.
“Kami telah dihubungi Sirul dan telah diberi mandat untuk membuat apa-apa tindakan undang-undang yang dibenarkan dalam keadaan ini,” ujar Kamarul Hisham sewaktu dihubungi Astro AWANI.
Beliau menyatakan bahawa langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Pertama sekali, kita perlu ketahui status rasmi penahanan tersebut. Adakah dia ditahan atas undang-undang imigresen atau dia ditahan berikutan notis merah oleh pihak Interpol yang seterusnya berlanjut kepada permohonan ekstradisi itu.
“Setakat ini tiada siapapun yang tahu mengenainya, itu kita perlu sahkan dahulu,” ujar Kamarul Hisham yang menambah bahawa sehingga kini, berita penahanan tersebut hanya diperolehi daripada laporan media Australia.
Sirul dikenakan perintah ekstradisi oleh Mahkamah Persekutuan bagi menjalani hukuman mati setelah sabit tuduhan membunuh model dan penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Minggu lalu, Bernama melaporkan bahawa pasukan peguambela Sirul akan mencabar permohonan ekstradisi ke atasnya jika pihak berkuasa Malaysia meminta supaya kerajaan Australia menghantar dia pulang ke negara ini.
Kamarul Hisham ketika itu berkata langkah itu akan dibuat bergantung kepada arahan yang akan diberikan oleh anak guamnya.
#Altantuya
#Australia
#cabar ekstradisi
#kamarul hisham kamaruddin
#Malaysia
#Peguambela
#Sirul Azhar