'Along Kubur' disambung reman empat hari
Sinar Harian
Februari 21, 2025 12:20 MYT
Februari 21, 2025 12:20 MYT
Along Kubur (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang pada Jumaat. -Sinar Harian
KLUANG: Tempoh tahanan reman lelaki tempatan dikenali sebagai Along Kubur yang melarikan diri daripada polis di bandar di sini pada minggu lalu, dilanjutkan selama empat hari lagi.
Ringkasan AI
- Tempoh tahanan reman Along Kubur dilanjutkan selama empat hari lagi hingga 25 Februari untuk membantu siasatan mengikut beberapa seksyen undang-undang, termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Pada 14 Februari, Along Kubur melarikan diri daripada polis sejauh lima kilometer di Kluang, memandu kereta Honda Prelude kuning dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan di hadapan lampu isyarat Kluang Mall.
- Suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah. Polis menemui heroin pada suspek, dan ujian air kencing menunjukkan dia positif methamphetamine.
Suspek sebelum itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat dengan kawalan ketat anggota polis kira-kira jam 8.30 pagi.
Majistret Mustaqim Sukarno mengeluarkan perintah reman ke atas suspek hingga 25 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.
Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 44(2) Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.
Pada 14 Februari lalu tular di media sosial aksi seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda Prelude berwarna kuning dikejar anggota polis sejauh lima kilometer.
Dalam kejadian sekitar pukul 9 pagi Jumaat, Unit Peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan kenderaan yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Persimpangan Jalan Haji Manan.
Ketika cuba diperiksa, suspek berusia lingkungan 40-an bertindak melarikan diri, menyebabkan polis terpaksa mengejarnya sebelum dia akhirnya berjaya ditahan di hadapan lampu isyarat Kluang Mall.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah.
Polis turut menemui sejumlah dadah dipercayai heroin, sementara ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. -Sinar Harian