Almarhum Raja Abdullah seorang pemimpin berwawasan - Najib

Bernama
Januari 23, 2015 18:24 MYT
Najib berkata sewaktu Almarhum Raja Abdullah (gambar) menjadi ketua kerajaan Arab Saudi, negara itu telah berkembang dengan begitu pesat. - Gambar Fail
Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz merupakan seorang pemimpin yang berwawasan dan kepimpinannya yang sangat berkesan dalam memajukan Arab Saudi menjadikan kemangkatan baginda satu kehilangan besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata sewaktu Almarhum Raja Abdullah menjadi ketua kerajaan Arab Saudi, negara itu telah berkembang dengan begitu pesat.
"Sewaktu Almarhum Raja Abdullah menjadi raja kerajaan Arab Saudi, hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi telah berkembang dengan begitu pesat. Keakraban antara kedua-dua negara tidak dapat disangkal dan telah dapat kita lihat melalui pelbagai bidang kerjasama yang semakin erat.
"Di samping itu, segala kemudahan diberikan kepada jemaah haji adalah sangat dihargai oleh kerajaan Malaysia," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini sebelum bergerak ke Zurich untuk menaiki penerbangan ke Riyadh, Arab Saudi, tengah hari ini (waktu tempatan).
Memandangkan hubungan akrab Malaysia dengan Arab Saudi, Perdana Menteri mengambil keputusan membatalkan semua programnya di Forum Ekonomi Dunia (WEF)bagi menyampaikan ucapan takziah dan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.
"Bagi pihak Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, kerajaan Malaysia dan semua rakyat Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Raja Abdullah," kata Najib.
Dalam akaun Facebooknya, Perdana Menteri berkata Almarhum Raja Abdullah akan dikenang sebagai pemimpin yang hebat atas inisiatif baginda menggalakkan dialog antara agama dan persefahaman di kalangan rakyat pelbagai agama dan kepercayaan.
"Kestabilan dan keselamatan di Timur Tengah dan negara-negara Islam lain juga sentiasa dalam ingatan baginda selain mengabadikan hidup baginda untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara," kata Najib.
Keadaan ini, kata Najib, menyebabkan Almarhum Raja Abdullah sentiasa dipandang tinggi dan dihormati rakyat dan umat Islam demi kemakmuran dan pembangunan kerajaan Arab Saudi.
"Kita akan terus menjadikan legasi dan sumbangan yang ditinggalkan Raja Abdullah bagi meningkatkan hubungan di antara Malaysia dan Arab Saudi," kata Najib.
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berlepas ke Riyadh, Arab Saudi dengan pesawat khas pukul 12 tengah hari ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich.
Raja Abdullah mangkat pada awal pagi Jumaat pada usia 90 tahun.
Adinda baginda, Putera Salman Abdulaziz telah dinamakan sebagai raja yang baharu.
#Arab Saudi #Malaysia #Najib Razak #raja abdullah #Raja Salman
;