ALM Malaysia-Australia: Tiga tonggak utama dicapai bagi perkukuh hubungan dua hala
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 4, 2024 16:15 MYT
Mac 4, 2024 16:15 MYT
MELBOURNE : Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia menumpukan tiga tonggak utama dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Tiga tonggak utama itu adalah kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi serta pertahanan serantau.
Perkara itu dicapai bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya, Anthony Albanese pada ALM di Rumah Kerajaan, Victoria pada Isnin sempena lawatan rasmi Anwar ke negara itu.
Ia selari dengan kerjasama yang akan dilaksanakan antara kedua-dua negara terutamanya dalam bidang baru muncul ketika kedua-dua negara sedang memulakan era progresif baharu.
Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Australia yang akan meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun depan, telah membina kerjasama mantap dalam pelbagai bidang kerjasama.
Katanya, hubungan ini diperkukuhkan lagi dengan Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021 yang menyediakan pelan tindakan untuk membangunkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, belia dan sukan, ekonomi digital serta keselamatan siber.
“Tenaga boleh diperbaharui...teknologi hijau dan pastinya (bidang) digital. Keterjaminan makanan juga penting bagi kita dan ini menjadi satu keperluan mendesak di beberapa negara termasuk Malaysia.
“Begitu juga pendidikan. Terdapat banyak institusi pengajian tinggi dan universiti kebangsaan yang menubuhkan kampus di Malaysia, yang amat kami alu-alukan.
“Adalah menjadi tugas dan komitmen kami untuk memudahcara, malah mempercepatkan prosesnya,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia.
Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kerjasama Pendidikan Tinggi; MoU dalam bidang Sukan; MoU dalam Keselamatan Siber dan Teknologi Kritikal; dan Kerjasama Praktikal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia dalam bidang Sains dan Teknologi dan Aplikasinya untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT).
MoU terbabit diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Anwar sebelum itu diberi sambutan rasmi oleh Gabenor Victoria, Margaret Gardener dan Albanese di Rumah Kerajaan, Victoria.
Majlis itu mendahului perbincangan dua hala dan Mesyuarat Pemimpin Tahunan Australia-Malaysia (ALM) Kedua.
Ini adalah lawatan sulung Anwar ke Australia dan beliau mengetuai delegasi Malaysia ke ALM serta Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.