Allahyarham Tun Abdul Taib banyak jasa, beri tunjuk ajar - Nanta Linggi
Hasimi Muhamad
Februari 21, 2024 17:09 MYT
Februari 21, 2024 17:09 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi secara peribadi berkata Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud antara orang yang banyak berjasa dan memberi tunjuk ajar kepada beliau dalam meniti dan mencorak perjalanan karier politik.
Menurut Menteri Kerja Raya itu, banyak yang dipelajari daripada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu, dan semuanya masih terpahat dalam ingatan serta menjadi panduan dalam melunaskan tanggungjawab kepada rakyat.
"Saya juga melihat beliau di hadapan mata, berganding bahu bersama-sama pemimpin Sarawak yang lain termasuk mendiang datuk saya, Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Barieng, dalam mengemudi Sarawak dan negara, selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
"Selain itu juga, saya turut mengingati keakraban Tun Abdul Taib bersama ayah saya, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi dan juga mendiang bapa mentua saya, Tan Sri Celestine Ujang Jilan yang juga merupakan rakan seperjuangan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)," katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Rabu.
Berkongsi lanjut, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, peluang bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Abdul Taib selama lapan tahun, dari Disember 1992 hingga Disember 2000, banyak memberi peluang untuknya mempelajari selok-belok dan rencah politik.
Ujar beliau, tiada resipi terbaik dan ampuh yang dapat menjamin kejayaan seorang ahli politik sepertinya.
Nanta juga berlongsi satu nasihat yang sering diberikan oleh Allahyarham Tun Abdul Taib kepadanya yang masih dipegang utuh sehingga hari ini; "Alex, peluang menjadi wakil rakyat, gunakanlah sebaiknya untuk membantu rakyat, negeri dan negara.”
Nanta yang juga Setiausaha Agung PBB berkata, kehilangan bekas Ketua Menteri Sarawak itu juga memberi kesan mendalam buatnya, dan tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan ketika ini.
"Namun pastinya, kesedihan yang dirasakan oleh ahli keluarga Tun Abdul Taib lebih berat dan jauh dari sudut hati saya, salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
"Terima kasih Tuan atas pengajaran yang tuan berikan kepada saya, kepercayaan dan keyakinan tuan untuk saya. Anda akan sentiasa ada dalam doa dan ingatan saya," luah Nanta lagi.
Allahyarham Tun Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun sekitar jam 4.40 pagi tadi.