Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail selamat dikebumikan

Bernama
November 15, 2020 14:45 MYT
Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota pukul 11.15 pagi Ahad. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail, 84, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota pukul 11.15 pagi Ahad.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Salahuddin Al-Ayubbi di Taman Melati untuk dikafan dan disolatkan yang dihadiri ahli keluarga serta rakan-rakannya mengikut prosedur operasi standard (SOP).
BACA: Tan Sri Zaleha Ismail meninggal dunia
Turut kelihatan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menyifatkan Allahyarham Zaleha sebagai sumber inspirasinya ketika menyertai dunia politik dan anggota Wanita UMNO.
"Arwah Kak Leha bukan hanya pemimpin wanita tetapi pemimpin negara. Sifat baiknya dan cara menyelesaikan masalah menjadikan dunia politik negara cukup indah.
"Arwah Kak Leha adalah lagenda da ikon buat ahli-ahli Wanita UMNO," katanya yang juga bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO.
Allahyarham Zaleha meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat beberapa komplikasi kesihatan kira-kira pukul 8.15 malam Sabtu di hospital.
Beliau merupakan bekas Menteri Pengangkutan sebelum dilantik memegang jawatan sebagai Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat pada 1995 hingga 1999.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Wanita UMNO dari 1976 hingga 1980 dan Ketua Wanita Kuala Lumpur dari 1977 hingga 1978.
Allahyarham Zaleha berkahwin dengan Abd Rahman Ali dan dikurniakan tiga anak lelaki, Datuk Dr Zurin Adnan, Zurin Azlan dan Zurin Azrai.
#Tan Sri Zaleha Ismail #meninggal dunia #kebumi #Taman Melati #Masjid Salahuddin Al-Ayubbi #UMNO #Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
;