"Allahyarham seorang suami yang sempurna" - Isteri Mejar Mohd Zahir

Fareez Azman
September 4, 2019 14:23 MYT
Allahyarham Mejar Mohd Zahir disifatkan isterinya seorang suami penayang dan bertanggungjawab.
Isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, reda dengan pemergian suaminya dalam insiden di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu di Sabah pagi tadi.
Ketika dihubungi Astro AWANI, Nour Shafinar Harun, 31, berkata, beliau dapat menatap foto yang dihantar buat kali terakhir oleh Allahyarham ketika sedang bersarapan sebelum sesi demonstrasi berlangsung di kem tentera itu.
"Dia pergi ke sana pada 26 Ogos dan dijangka balik esok. Dia cuma hantar WhatsApp kepada saya gambar dia tengah makan lepas itu saya tidak dengar apa-apa berita.
"Saya hendak tahu juga apa tindakan seterusnya yang pihak tentera akan buat, tapi saya tahu Allahyarham meninggal dunia ketika dalam latihan sebab dalam kerja dia. Suami saya memang minat tentera dia juga seorang sharp shooter, minat dia memang menembak dalam ketenteraan," katanya.
Hasil perkahwinan lebih setahun bersama Allahyarham, Nour dan Mohd Zahir dikurniakan seorang cahaya mata berusia 6 bulan.
Allahyarham juga meninggalkan empat orang anak hasil daripada perkahwinan sebelum ini.
"Saya redha dengan pemergian dia dalam pakaian dan uniform kerja dia. Seorang bapa yang sangat penyayang memang perfect untuk anak-anak dan isteri, sepanjang perkahiwnan saya memang tidak satu pun salah daripada dia." kata Nour menggambarkan keperibadian Allahyarham suaminya.
#anak AR Badul #AR Badul #Astro #Astro Awani #ATM #demonstrasi #gugur #insiden #isteri #Kota Kinabalu #maut #Mejar Mohd Zahir #meninggal dunia #perkahwinan #Sabah #tentera #tertembak #WhatsApp
;