'Allahyarham Sanusi pergi dalam keadaan sangat baik' - Wan Azizah

Sinar Harian
Mac 9, 2018 16:14 MYT
WAN AZIZAH: "Malam tadi, beliau kelihatan sihat dan normal. Malah pagi tadi dia bangun dan mengambil wuduk seperti biasa."
Pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika sedang menunggu solat Subuh diibaratkan satu pemergian yang sangat istimewa.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, situasi itu merupakan petanda baik buat Allahyarham.
"Allahyarham meninggal pagi Jumaat, hari yang cukup baik, sebelum Subuh menunggu azan.
"Itu petanda ALLAH muliakan beliau, semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Saidina Umar al-Khattab di sini, hari ini.
BACA: Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia
BACA: Anak Allahyarham Sanusi syukur dapat tunai hasrat bapa
Dalam pada itu, Wan Azizah yang juga Presiden PKR turut merakam ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.
"Saya turut berduka dengan berita ini kerana Allahyarham dan keluarga ada sejarah dengan keluarga kami," katanya.
Allahyarham Sanusi dilaporkan meninggal dunia ketika bersedia untuk menunaikan solat Subuh di rumah anaknya di Pantai Dalam, pagi tadi.
Anaknya, Akramsyah Sanusi berkata, Allahyarham ditemui ahli keluarga dalam keadaan terduduk ketika menunggu azan Subuh.
"Malam tadi, beliau kelihatan sihat dan normal. Malah pagi tadi dia bangun dan mengambil wuduk seperti biasa.
"Ketika menunggu azan Subuh, kami jumpa arwah sudah tiada, dia ‘pergi’ dalam keadaan yang baik," katanya memerik laporan media tempatan.
Jenazah Allahyarham dimandikan dan akan disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara selepas Solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Sanusi, seorang bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), menjawat pelbagai jawatan kabinet, termasuk sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Pertanian di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.
#jenazah #kabinet #meninggal dunia #menteri #Menteri Pembangunan Luar Bandar #Menteri Pertanian #pembangkang #PKR #Sanusi Junid #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail
;