'Allahyarham S. Atan luar biasa, saya sendiri cemburu' - M. Nasir
Firdaus Azil
November 17, 2024 14:45 MYT
November 17, 2024 14:45 MYT
KAJANG: Bakat ‘maestro’ industri hiburan tanah air, Allahyarham Datuk Hashim Said yang lebih dikenali sebagai S. Atan begitu gah, hingga dicemburui seorang lagi ‘maestro’, iaitu Datuk M. Nasir.
M. Nasir, yang terkenal dengan julukan ‘sifu’ dalam mencipta lagu-lagu pelbagai genre mengakui beliau kadang-kadang cemburu dengan kebolehan S. Atan dalam menghasilkan karya yang sentiasa relevan dan mendapat tempat di hati pelbagai generasi.
Penyanyi dan komposer itu turut mengakui, beliau sendiri mungkin tidak dapat menyamai kebolehan S. Atan dalam penghasilan karya tertentu.
“Saya anggap (Allahyarham) sebagai raja dalam dunia pop musik Melayu. Pernah pada era 80-an... ada artis-artis yang mungkin hampir nak keluar daripada dunia hiburan (kerana kurang popular), tapi dia masih boleh naikkan lagi (mereka) dengan lagu-lagunya.
"Daripada segi ciptaan lagu, dia sangat mahir lagu pop Melayu.
“Ada banyak lagu dia yang saya cemburu bila saya dengar, dalam hati kata... kalau saya buat (lagu) ni kan bagus. Tapi saya pasti saya tak dapat melakukannya kerana dia datang dari keadaan yang berbeza. Dan saya sanjung,” katanya lagi.
M Nasir berkata demikian kepada Astro AWANI selepas selesai pengebumian jenazah Allahyarham S Atan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang, pada Ahad.
Terdahulu jenazah Allahyarham disempurnakan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Kajang.
Turut menghadiri perjalanan terakhir beliau selain ahli keluarga dan M Nasir serta isteri Datin Marlia Musa, ialah rakan-rakan seperjuangan dalam industri hiburan termasuk, Datuk Ramli MS dan Fauzi Marzuki, Jatt Blackdog Bone, Ziela Jalil dan Liza Abdullah.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kajang pada jam 3.23 petang Sabtu.
Dalam pada itu M Nasir berkata, karyawan masa kini mungkin sukar untuk menandingi karyawan lama kerana suasana persekitaran yang berbeza, atau kehidupan yang lebih sukar waktu itu, menyebabkan karya mereka lahir daripada hati.
“Pencipta lagu lama... mereka datang daripada suasana yang lain, mungkin kemiskinan, perjuangan hidup, keadaan pembangunan negara waktu tu masih di peringkat permulaan.
"Segalanya baharu, tapi walaupun pengaruh datang dari luar, dari barat umpamanya. Tetapi kerana perjuangan untuk hidup lebih daripada perjuangan untuk mendapatkan tempat dalam industri yang diceburi. Ia sangat kuat dalam jiwa mereka.
"Kita tak dapat bandingkan dengan karyawan hari ini, apa tujuan mereka (karyawan kini) dalam industri... ini kita tak tahu.
“Tapi kalau dulu, semangat untuk hidup tu sangat kuat, semangat untuk berjaya sangat kuat, sehingga menghasilkan orang seperti S. Atan,” luahnya lagi.