Allahyarham Nidza Afham dalam proses kumpul duit kahwin - Adik

Gempak
Ogos 15, 2024 13:35 MYT
Aufahanie ketika bertemu pemberita ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam pada pagi Khamis.
PENYANYI Aufahanie memberitahu Allahyarham abangnya yang juga penyanyi Nidza Afham mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan teman wanitanya.
Tidak mengetahui bila tarikh mereka merancang melangsungkan perkahwinan, Aufahanie berkata abangnya dalam proses mengumpul wang untuk ke arah itu.
“Abang saya yang nombor tiga baru saja kahwin, memang sepatutnya dialah (selepas ini). Tapi saya tak tahulah perancangan kahwin dia itu bila, sama ada tahun ini atau tahun hadapan.
“Tapi setahu saya, memang dia dalam proses kumpul duit kahwin,” kata Aufahanie kepada Gempak ketika ditemui di Hospital Shah Alam pada Khamis.
Pernah Terpisah
Dalam pada itu, Aufahanie turut mendedahkan dia dan Allahyarham abangnya pernah terpisah ketika masih kecil disebabkan ibu bapa mereka bercerai.
Aufahanie berkata hubungan mereka bagaimanapun kembali rapat selepas meningkat dewasa.
Namun katanya, sejak mempunyai teman wanita, arwah abangnya sudah jarang berkongsi atau meluahkan perasaan dengannya.
"Dia rajin meluah dengan saya sebab umi dan ayah bercerai, masa dari kecil kami terpisah tak duduk bersama sampailah kami duduk bersama.
“Bila besar sikit baru tanya dekat abang 'kau tak sedih ke jadi macam ni.' Tapi sejak dia ada girlfriend, dia dah tak mengadu sangatlah sebab dia banyak mengadu dekat girlfriend dia.
"Jadi, apa-apa yang dia sedih saya dah tak tahu. Kami selalu kata (mengusik) 'kau kawin dulu ke aku kawin dulu’,” katanya.
Aufa yang kelihatan sugul ketika ditemui mengakui terkesan dengan kematian abangnya itu.
Dalam pada itu, katanya arwah langsung tidak pernah menunjukkan perilaku pelik sebelum kejadian.
Semalam jenazah dikatakan ditemui pada pukul 7 malam kira-kira satu kilometer dari lokasi Nidza dilaporkan hilang di sekitar jambatan Sungai Klang.
Penemuan tersebut disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Sebelum ini polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi itu yang keluar rumah pada 7.45 petang Selasa selepas keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang.
Nidza bagaimanapun gagal dihubungi sebelum teman wanitanya mengesan telefon bimbit mangsa berdekatan jambatan Sungai Klang.
Keluarga yang bergegas ke tempat kejadian berjaya menemui telefon dan dompet milik mangsa. - Gempak
#Nidza Afham #perancangan kahwin #identiti kekasih #kes kematian
;