Allahyarham Muhammad Adib suka makan serunding ikan di pagi raya - Ibu

Adie Sufian Zulkefli
Mei 22, 2020 13:11 MYT
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa. Gambar fail
Menjelang Aidilfitri, tiada kata-kata dapat menggambarkan kerinduan ibu bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban dalam kejadian rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor dua tahun lalu.
Hanya kesedihan dan ingatan mengenai Allahyarham sahaja yang menjadi peneman Asma Aziz, 52, dan suaminya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, ketika memikirkan ketibaan Syawal beberapa hari lagi.
“Walaupun dua tahun sudah berlalu, namun kenangan bersama arwah masih segar dalam ingatan kami.
"Makcik sebak tak boleh nak cakap sebab setiap kali hari raya memang teringat arwah kerana dia suka sangat serunding ikan serta ketupat yang makcik buat," kata Asma ringkas sambil mengesat air matanya yang gugur.
Mohd Kassim juga tidak mampu mengungkapkan kata-kata ketika ditanya mengenai Allahyarham, sebaliknya hanya mampu menahan sebak sambil matanya mula berkaca di sebalik senyuman tawar setiap kali terkenangkan Muhammad Adib.
Pasangan itu ditemui ketika kunjungan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Syufa'at Kamaron di rumah mereka di Tebengau, Kuala Kedah.
Syufa'at turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pasangan berkenaan yang akan menyambut Aidilfitri bersama dua anak perempuan merek di situ, berikutan anak yang lain tidak dapat pulang disbabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.
Sementara itu, Syufa'at berkata, JBPM Kedah tidak pernah melupakan keluarga Allahyarham Adib kerana mereka bagaikan satu keluarga besar dalam pasukan.
"Dari semasa ke semasa kita akan mengikuti perkembangan ibu bapa Allahyarham kerana beliau dahulu banyak berjasa kepada pasukan. Kita tidak akan lupakan Allahyarham Adib," katanya.
#Adib #Aidilfitri #Allahyarham #bomba #Kedah #kenangan #Muhammad Adib #Subang Jaya #terkorban
;