Allahyarham Harussani berpegang pada prinsip, berani - Timbalan Mufti Perak

Aida Aziz
Mei 30, 2021 04:51 MYT
Zamri berkata, pemergian Allahyarham Harussani merupakan kehilangan besar buat umat Islam di negara ini.
IPOH: Beliau terkenal sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip dan mempunyai sifat berani.
Demikian peribadi Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria seperti disifatkan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.
Zamri berkata, pemergian Mufti Perak itu merupakan kehilangan besar buat umat Islam di negara ini.
"Allahyarham merupakan seorang tokoh yang jasanya bukan hanya di negeri Perak saja, tetapi juga negara dan nusantara serta dunia Islam.
"Sudah tentu ia merupakan kehilangan besar, dan umat Islam seluruh Malaysia akan merasai kehilangan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Harussani, 82 tahun, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya kira-kira jam 6.20 petang.
Terdahulu, Harussani dan isteri, Puan Sri Ainon Abdul Ghani disahkan positif COVID-19 sebelum Hari Raya Aidilfitri.
#Mufti Perak #Harussani Zakaria #timbalan mufti perak #zamri hashim #COVID-19 #Hospital Raja Permaisuri Bainun #Hari Raya Aidilfitri #unit rawatan rapi #ICU #Aidilfitri
;