Allahyarham Eddin Syazlee hidap barah sejak April lepas - Isteri
Bernama
September 20, 2024 15:40 MYT
September 20, 2024 15:40 MYT
SEREMBAN: "Allahyarham sebelum ini memang berhajat meninggal dunia pada Jumaat dan sekarang sudah tercapai hajatnya," luah Datin Dr Nurul Azlin Ibrahim isteri kepada bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith.
Ringkasan AI
- Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith, meninggal dunia pada usia 50 tahun akibat barah.
- Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Taman Bukit Chedang dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale selepas solat Jumaat.
- Isterinya, Datin Dr Nurul Azlin Ibrahim berkata Allahyarham berpesan supaya menjaga anak-anak mereka dengan baik. Allahyarham juga tidak aktif dalam politik sejak menghidap barah dan menjalani rawatan.
- Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada parti. Allahyarham dikenang sebagai penasihat yang banyak memberi tunjuk ajar kepada pemimpin muda dan antara pengasas Bersatu di Negeri Sembilan.
Beliau berkata Allahyarham menghidap barah sejak April lepas dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan terakhir di Hospital Pakar KPJ Seremban.
"Penyakitnya sudah pada tahap kritikal, sebab itu kami bawa balik dari hospital semalam atas nasihat doktor ... sebelum ini arwah ada pesan supaya saya menjaga dua anak lelaki dan seorang perempuan kami sebaik-baiknya.
"Sejak sakit akibat komplikasi barah itu, memang arwah tidak aktif dalam politik kerana sedang menjalani rawatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Eddin Syazlee , 50, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggal dunia pada 7.10 pagi tadi di rumahnya di Taman Bukit Chedang di sini.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kariah Taman Bukit Chedang di sini pada tengah hari tadi untuk dimandi, dikafan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale selepas solat Jumaat.
Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker menyifatkan pemergian penasihat PN negeri itu kehilangan besar kepada parti berikutan sumbangannya selain sentiasa menjadi tempat rujukan dan tunjuk ajar dalam kalangan pemimpin muda.
"Beliau juga antara pengasas Bersatu di Negeri Sembilan. Saya masih ingat antara pesanannya ... 'pemimpin baharu agak sukar untuk bermula di negeri ini tapi kalau terus bertahan kita akan jadi sangat berkualiti dalam tempoh beberapa tahun' kini apa yang dikatakan itu nampak kesannya.
"Sebelum ini beliau pernah jadi wakil rakyat di Kuala Pilah dan pernah memegang tiga portfolio di kementerian, bagi saya beliau telah menjalankan tugas yang sangat sempurna ... ," katanya.
Hanifah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan berkata kali terakhir bertemu Allahyarham pada petang semalam ketika menziarah beliau di rumahnya bersama Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang lain.
"Semalam Allahyarham memang tak dapat bercakap dah, seminggu sebelum ini pun ada jumpa, beliau ada pesan supaya terus menjalankan tanggungjawab dengan baik selain turut meminta maaf sekiranya ada buat salah. Di akhir hayat pun beliau masih menasihati dan menjalankan tugas sebagai pemimpin," katanya.
Eddin Syazlee berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya.
-- BERNAMA
#Eddin Syazlee Shith
#hidap barah
#Nurul Azlin Ibrahim
#Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia