Allahyarham Azraai Khor terima Anugerah Khas Maulidur Rasul Kedah

Bernama
September 16, 2024 18:45 MYT
Raja Muda Kedah (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada Rohani Ibrahim balu Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah (empat dari kiri), sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Bekas jurulatih bola sepak Kedah, Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang mewakili Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan anugerah khas itu kepada balu Allahyarham, Rohani Ibrahim, 64.
Rohani menerima sijil penghargaan, hadiah iringan dan replika cek berjumlah RM7,000 bagi menghargai jasa Allahyarham Mohd Azraai dalam arena bola sepak negara khususnya Kedah.
"Walaupun sudah tujuh bulan suami meninggal dunia akibat strok, saya dan anak-anak masih merasai kehilangan beliau. Kami sedih kerana Allahyarham tidak sempat melihat anugerah ini sebagai tanda mengenang jasanya dalam bola sepak terutama kepada negeri Kedah.
"Allahyarham disenangi semua orang kerana beliau seorang yang baik dan perginya juga pada hari baik, semua orang menghormati arwah. Mereka merasakan pemergian arwah satu kehilangan besar dalam bidang bola sepak terutamanya Kedah," kata Rohani.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata semasa hayatnya Allahyarham tidak lokek menyumbang jasa dan sentiasa melayan kenalan, penyokong termasuk wartawan yang ingin mengetahui perkembangan pasukan bola sepak.
"Saya berterima kasih kepada semua yang terus menyokong arwah dan tetap ingatkan Allahyarham walaupun beliau telah tiada," katanya yang mengakui kediaman dan kubur arwah terus dikunjungi orang ramai dan didoakan hingga kini.
Allahyarham Mohd Azraai, 72, yang meninggal dunia pada 8 Feb lepas akibat strok bukan sahaja dikenali sebagai jurulatih Kedah malah bekas pemain negeri itu era 1970-an yang beraksi di bahagian tengah serta pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978.
Allahyarham seorang jurulatih disegani kerana pernah membantu Kedah mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi 'double treble' pada 2007 dan 2008, selain membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia pada 2011 dan turut membimbing beberapa pasukan lain termasuk Harimau Muda A, T-Team dan Kelantan.
Pada 2007 dan 2008, Mohd Azraai atau nama asalnya Khor Sek Leng dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100-plus FAM.
Sementara itu pada majlis sama, Imam Masjid An-Nur Pokok Sena, Ismail Jaafar, 84, diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Imam Maulidur Rasul peringkat Kedah.
Ismail yang juga bekas guru membawa pulang sijil penghargaan, hadiah iringan dan RM7,000.
-- BERNAMA
#bekas jurulatih bola sepak Kedah #Mohd Azraai Khor Abdullah #anugerah khas Maulidur Rasul #raja muda kedah
;