Allahyarham Awang Askandar mahu wujudkan pasukan penyelamat ekstrem - Abang
Abdul Hafiz Mustadi
Mei 23, 2023 22:03 MYT
Mei 23, 2023 22:03 MYT
PAPAR: Penyertaan Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub dalam ekspedisi menawan puncak Gunung Everest pada April lalu bukan sekadar impian peribadi semata-mata.
Lebih daripada itu, Allahyarham bercita-cita untuk mewujudkan pasukan penyelamat APM yang mampu melaksanakan tugas dalam situasi sukar termasuk cuaca ekstrem.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh abang Allayarham, Awang Asim Ampuan Yaacub.
"Arwah pernah menceritakan dengan saya dia punya impian untuk wujudkan satu pasukan yang boleh menjalankan tugas di tempat-tempat yang ekstrem.
"Sebab itu dia pergi sana. Sekembalinya nanti dia ingin wujudkan pasukan itu, yang menyelamatkan mangsa di tempat-tempat yang ekstrem.
"Namun, hasrat itu tidak kesampaian," ujar Awang Asim ketika ditemui di kediamannya di Benoni, Papar pada Selasa.
Pada masa sama, berkongsi mengenai peribadi Allahyarham, Awang Asim berkata, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah itu mempunyai peribadi yang sangat merendah diri dan sering menerima pandangan orang-orang sekeliling.
Allahyarham juga menurut Awang Asim sebelum ini pernah menyertai tentera udara, menjadi pensyarah, dan berkhidmat di Biro Tata Negara sebelum menyertai Angkatan Pertahanan Awam.
"Kalau dia (Awang Askandar) tidak bersetuju (dengan orang lain) pun dia mengambil sikap berdiam diri.
"Kalau ikut kerjaya dia merupakan seorang anggota tentera udara sebelum ni. Selepas itu dia menjadi seorang guru, pendidik, dan pernah menjadi pensyarah di kolej swasta.
Pernah juga bertugas di Biro Tata Negara dan akhirnya ke Angkatan Pertahanan Awam hinggalah sekarang", tambah Awang Asim.
Berdasarkan maklumat terakhir jenazah Allahyarham Awang Askandar dikatakan berada di Kem 4 dan sedang melalui proses pemindahan ke tapak kem sebelum dibawa ke Kathmandu.
Allahyarham yang merupakan salah seorang pendaki dalam Misi Malaysia Everest 2023 dilaporkan meninggal dunia pada 19 Mei Jam 12.45 tengahari waktu tempatan selepas mengalami masalah kesihatan sewaktu misi berkenaan.