Allahyarham Ahmad Nawab tokoh legenda industri muzik - Seniman

Bernama
November 24, 2024 21:48 MYT
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan komposer terkenal Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab sebagai tokoh legenda industri muzik yang berpengalaman luas di peringkat tempatan dan serantau. - Foto Facebook Seniman
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan komposer terkenal Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab sebagai tokoh legenda industri muzik yang berpengalaman luas di peringkat tempatan dan serantau.
Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata pemergian Allahyarham akibat sakit tua di kediamannya di Gombak, di sini hari ini, amat mendukacitakan dan dirasai seluruh penggiat industri muzik dan filem negara.
"Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah dan kami mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Ahmad Nawab yang lahir di Pulau Pinang pada 1932, merupakan seorang komposer yang aktif dalam penggubahan lagu sehingga ke akhir hayatnya.
Hafiz berkata Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik telah menghasilkan banyak lagu popular untuk artis tempatan dan luar negara antaranya Uji Rashid, Broery Marantika, Hetty Koes Endang, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Sudirman Haji Arshad.
Berita pemergian Ahmad Nawab, 92, atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan disahkan oleh cucunya Teh Suraya Nasir Khan hari ini yang turut memaklumkan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di sini, pagi esok.
-- BERNAMA
#Seniman #Ahmad Nawab #komposer terkenal #tokoh legenda industri muzik
;