Allah tolong hamba yang dizalimi - Shahidan Kassim
Diyana Ibrahim
November 9, 2018 16:23 MYT
November 9, 2018 16:23 MYT
"Allah tolong hamba yang dizalimi."
Itu reaksi ringkas anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Astro AWANI berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya hari ini.
Ketika ditanya, beliau enggan mengulas dan hanya mendakwa ada pihak cuba memalukannya, namun tidak menyebut nama individu tersebut.
"Mereka nak malukan saya," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.
Waran tangkap ke atas Shahidan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kangar Johari Abu Hassan selepas beliau gagal hadir pada prosiding pertuduhan kes dipercayai mencabul gadis bawah umur Oktober lalu.
Peguam Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim membantah pengeluaran waran tersebut atas alasan tidak dimaklumkan terlebih dahulu.
Difahamkan Shahidan menjalani ibadah umrah di tanah suci Mekah dan hanya tiba di Malaysia hari ini.
Sebelum ini tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun 11 bulan yang merupakan anggota kumpulan buskers yang ditaja beliau.
Bekas menteri itu bagaimanapun menafikan tuduhan yang didakwa berlaku pada 21 Okt lepas, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja itu telah ditarik balik.
Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa perkara itu telah diselesaikan secara baik dan keluarga mereka anggap tidak ada apa yang perlu dihebohkan.
Selain Syed Muhammad Anwar, Shahidan turun diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan Rabiatul Adawiah Ramli.
Zuhair berkata mahkamah tidak menarik kembali waran tangkap tersebut dan anak guamnya perlu hadir di Mahkamah Sesyen Kangar Isnin ini.
#Allah
#anak
#Astro
#Astro Awani
#Kangar
#keluarga
#mahkamah
#Mahkamah Sesyen
#Malaysia
#Mekah
#menteri
#Perdana Menteri
#polis
#remaja
#Shahidan Kassim
#umrah