Allah kabul doa selepas solat sunat sepanjang 20 tahun di penjara

Bernama
September 6, 2020 12:37 MYT
Sepanjang di dalam penjara, Abang Li mempelajari kemahiran menjahit dan mendalami ilmu agama serta sempat mengajar agama kepada banduan-banduan baharu. - Gambar hiasan
Sepanjang 20 tahun menjalani hukuman penjara, Abang Li, 66, (bukan nama sebenar) tidak putus-putus berdoa selepas menunaikan solat fardu serta sunat tahajud dan duha agar dia dibebaskan dan mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Ternyata usahanya itu tidak sia-sia apabila doanya akhirnya dimakbulkan Allah setelah menjadi antara 13 bekas ahli kumpulan Al-Ma'unah yang dibebaskan awal susulan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63.
Abang Li, dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Dis 2001 atas pertuduhan menurut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang atau cuba berperang atau bersubahat berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
"Sebelum ini, saya telah membuat dua hingga tiga kali permohonan (rayuan pengampunan) tetapi tidak berjaya sehinggalah saya dinasihatkan oleh pihak penjara supaya menyerahkan urusan itu kepada pihak berkuasa.
"Apabila mendapat perkhabaran mengenai pembebasan awal ini, saya bersyukur sangat-sangat dan menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong atas pengurniaan pengampunan yang diberikan, doa saya serta doa ibu yang tidak putus-putus siang dan malam dikabulkan Allah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis di sini semalam.
Sebelum dibebaskan sejak dua minggu lepas, Abang Li pernah dimasukkan ke beberapa penjara antaranya Sungai Buloh dan Kajang di Selangor, Pengkalan Chepa dan akhirnya di Pusat Pemulihan Akhlak di Machang.
Katanya, sepanjang berada di dalam penjara, dia mempelajari kemahiran menjahit dan mendalami ilmu agama serta sempat mengajar agama kepada banduan-banduan baharu.
Ditanya rancangan selepas dibebaskan, Abang Li berkata, buat masa ini dia mahu berehat bersama keluarga dan menjaga ibunya berusia 98 tahun setelah tidak menjalankan tanggungjawab itu selama 20 tahun.
Sementara itu, isterinya yang mahu dikenali sebagai Kak Yah berkata apabila suaminya dipenjara, dia menggalas tanggungjawab menjadi bapa dan berusaha keras membesarkan lapan anaknya yang kini berumur 21 hingga 40 tahun.
"Untuk membesarkan anak-anak seramai lapan orang tanpa suami bukan perkara mudah tanpa bantuan daripada mana-mana pihak, pendapatan sebagai peniaga kuih ketika itu tidak mencukupi.
"Tetapi Alhamdulillah berkat bantuan keluarga dan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, anak-anak saya kini sudah berjaya dan berkerjaya manakala yang bongsu masih melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Perak," katanya yang gembira suaminya kini kembali ke pangkuan keluarga. - BERNAMA
#Al-Ma'unah #hukuman penjara #pengampunan #solat duha #solat fardu #solat sunat #solat tahajud #Yang di-Pertuan Agong
;