Aliran trafik sesak, perlahan di lebuh raya utama petang ini

Bernama
Februari 10, 2024 19:41 MYT
Menurut jurucakap itu, trafik sesak dan perlahan turut dilaporkan berlaku menghala ke selatan bermula di Nilai ke RnR Seremban, Bandar Ainsdale ke Senawang dan Simpang Ampat ke Ayer Keroh. - Gambar fail/X Bernama
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama setakat 5 petang ini sesak dan perlahan berikutan pergerakan orang ramai sempena cuti panjang sambutan Tahun Baharu Cina, bermula hari ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan trafik sesak dan perlahan kira-kira lima kilometer di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) menghala ke Plaza Tol Gombak bermula dari Greenwood dan Batu Caves.
Keadaan trafik turut dilaporkan perlahan ke arah utara dari Hospital Sungai Buloh ke Rawang Selatan, Bukit Beruntung ke Bukit Tagar, Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng dan Bandar Baharu ke Bandar Cassia.
"Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah, lancar kecuali di Lentang ke Bentong menghala timur," katanya.
Menurut jurucakap itu, trafik sesak dan perlahan turut dilaporkan berlaku menghala ke selatan bermula di Nilai ke RnR Seremban, Bandar Ainsdale ke Senawang dan Simpang Ampat ke Ayer Keroh.
Akaun rasmi X PLUS memaklumkan terdapat kemalangan di KM168.2 arah utara dari Bandar Baharu ke Jawi namun tiada lorong terhalang dan trafik terkawal.
-- BERNAMA
#PLUS #Tahun Baharu Cina #trafik terkawal #cuti panjang
;