Aliran trafik perlahan, terkawal di lebuh raya utama

Bernama
Februari 2, 2025 17:15 MYT
Jumlah kenderaan meningkat berbanding hari biasa di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK). - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan menuju ke Lembah Klang susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti panjang Tahun Baharu Cina.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan jumlah kenderaan meningkat berbanding hari biasa di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), namun setakat 3.30 petang ini trafik masih terkawal.
Jurucakap itu memaklumkan di Utara tanah air, aliran trafik dilaporkan perlahan di Bertam ke Sungai Dua, Permatang Pauh ke Perai, Terowong Meru ke Ipoh dan Gopeng ke Bidor.
"Walaupun bergerak perlahan, trafik terkawal dan hal ini ini turut dipengaruhi oleh cuaca baik di lebuh raya utama yang terlibat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdapat beberapa kemalangan berlaku, katanya namun tidak mengakibatkan sebarang kesesakan kepada pengguna jalan raya antaranya di KM359.7 PLUS arah Selatan dari Sungkai ke Slim River.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.
-- BERNAMA
#Tahun Baharu Cina #cuti sekolah #lebuh raya #aliran trafik
;