Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama malam ini

Bernama
Jun 17, 2024 22:43 MYT
Jurucakap LLM memaklumkan jumlah kenderaan sedikit meningkat berbanding hari biasa di PLUS dan Lebuhraya KLK namun setakat 9.20 malam ini, trafik masih terkawal. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan menuju ke Lembah Klang susulan pergerakan pulang orang ramai selepas sambutan Aidiladha.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan jumlah kenderaan sedikit meningkat berbanding hari biasa di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) namun setakat 9.20 malam ini, trafik masih terkawal.
Beliau berkata di utara tanah air, aliran trafik dilaporkan perlahan di Jawi ke Sungai Bakap, Gurun ke Sungai Petani, Terowong Menora ke Ipoh, Tapah ke Sungkai dan Tanjung Malim ke Rawang.
"Aliran trafik turut dilaporkan perlahan di Alor Gajah menuju ke Seremban disebabkan pertambahan kenderaan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Di Pantai Timur pula, terdapat pertambahan kenderaan di Plaza Tol Bentong ke Lentang yang menyebabkan aliran trafik perlahan di kawasan terbabit.
Beliau berkata setakat ini, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar di kedua-dua arah.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.
-- BERNAMA
#aliran trafik #Aidiladha #talian bebas tol #PLUS
;