Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya petang ini
Bernama
Julai 11, 2022 17:17 MYT
Julai 11, 2022 17:17 MYT
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menghala masuk ke ibu negara bergerak perlahan berikutan orang ramai pulang dari kampung selepas bercuti sempena sambutan Aidiladha.
Tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 4.45 petang ini mendapati aliran trafik tinggi dan perlahan sejauh 25 kilometer (km) di persimpangan Karak ke Lentang dan Batu 12 ke Plaza Tol Gombak sejauh 8.8km.
LLM menasihati pengguna jalan raya terutama di bahagian timur agar mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan Lebuhraya Utara-Selatan sama ada perjalanan keluar atau kembali ke Lembah Klang sempena cuti perayaan ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.
-- BERNAMA