Aliran trafik mulai perlahan di lebuh raya utama petang ini

Bernama
Februari 9, 2024 18:57 MYT
Trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala utara dari Sungai Buloh ke Rawang Selatan mula perlahan kerana pertambahan kenderaan. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan mulai bergerak perlahan pada 5 petang ini, menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina esok.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala utara dari Sungai Buloh ke Rawang Selatan mula perlahan kerana pertambahan kenderaan.
"Trafik juga bergerak perlahan dari Sungkai ke Gopeng dan dari Juru Utara ke Sungai Dua," katanya.
Menurut jurucakap itu, trafik menghala ke selatan turut perlahan bermula dari Sungai Besi ke Universiti Putra Malaysia dan Southville City ke Bandar Ainsdale serta dari ke Jasin ke Simpang Renggam.
"Trafik menghala ke timur juga mulai perlahan bermula kira-kira satu kilometer selepas Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah," katanya.
Akaun rasmi X PLUS memaklumkan terdapat kemalangan di KM 340.3 arah utara dari Sungkai ke Bidor, namun tiada lorong terhalang dan trafik terkawal.
-- BERNAMA
#PLUS #Tahun Baharu Cina #aliran trafik #pertambahan kenderaan
;