Aliran trafik meningkat di lebuh raya utama menjelang Tahun Baharu Cina

Bernama
Februari 8, 2024 10:20 MYT
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama meningkat susulan pertambahan kenderaan, berikutan cuti panjang menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada Sabtu ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama meningkat susulan pertambahan kenderaan, berikutan cuti panjang menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada Sabtu ini.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad memaklumkan, setakat 9 pagi ini, aliran trafik meningkat di Permatang Pauh-Perai, Slim River-Sungkai, Setia Alam-Shah Alam dan Bandar Gamuda Cove-Bandar Saujana Putra.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, di kawasan selatan negara, kenderaan bergerak perlahan di Ayer Keroh-Jasin manakala aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, LPT 2, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Skudai lancar di kedua-dua arah.
"Aliran trafik dijangka terus meningkat pada sebelah petang selepas waktu bekerja dan orang ramai mengambil peluang menggunakan kemudahan tol percuma selama dua hari bermula hari ini," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA
#lebuh raya #trafik #Tahun Baharu Cina #tol percuma
;