Aliran trafik memasuki Terengganu meningkat 25 peratus - Polis

Nur Fazlizai Ali
Mei 9, 2021 08:31 MYT
Kadar kemasukan aliran trafik di Terengganu menunjukkan trend peningkatan sebanyak 25 peratus sejak beberapa hari lalu berikutan sambutan hari raya Aidilfitri pada minggu depan. -Gambar fail
BESUT: Kadar kemasukan aliran trafik di Terengganu menunjukkan trend peningkatan sebanyak 25 peratus sejak beberapa hari lalu berikutan sambutan hari raya Aidilfitri pada minggu depan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata lebih 18,000 kenderaan, terutama dari pantai barat, telah memasuki negeri itu sejak beberapa hari lalu berbanding purata kira-kira 15,000 sebelum ini.
Katanya, kebanyakan kenderaan yang merentas negeri itu adalah dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.
"Saya telah membuat pemantauan di LPT2 (Lebuhraya Pantai Timur 2), Terengganu, sejak dua tiga hari yang lepas, peningkatan aliran trafik dari pantai barat meningkat 25 peratus," kata Roslee.
Beliau berkata alasan yang lazim diberikan ialah urusan kerja, mahu menghantar dan mengambil anak, dan melawat orang sakit serta kematian.
Sementara itu, Roslee berkata sebanyak 135 pasukan pematuhan juga telah digerakkan di seluruh negeri bagi memastikan masyarakat menyambut Aidilfitri Fitri mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.
Katanya lagi, polis akan membuat pemeriksaan sekiranya terdapat kediaman yang terlalu banyak kereta dan juga bilangan kasut dan selipar.
Jelasnya, jika berlaku pelanggaran SOP, pihaknya akan mengenakan tindakan kompaun.
#Roslee Chik #Aidilfitri #SOP #Kuala Lumpur #polis #hari raya #Besut #kereta #Pahang #Pelanggaran SOP
;