Aliran trafik ke Pantai Timur mula meningkat, dijangka bertambah malam ini

Hilmi Malik
Julai 29, 2020 18:11 MYT
Kadar kesesakan itu dijangka terus berlarutan sehingga malam ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Dianggarkan lebih 180,000 kenderaan akan memulakan pergerakan pulang ke kampung di negeri-negeri Panntai Timur Semenanjung menjelang malam ini, sempena sambutan perayaan Aidiladha pada Jumaat.
Pengurus Besar Kanan Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata hasil tinjauan petang tadi, menyaksikan kadar kesesakan di laluan ke Pantai Timur itu semakin meningkat.
'Setakat tengah hari tadi sahaja sebanyak 80,000 kenderaan telah mula memasuki lebuh raya dan berlarutan sehingga malam ini.
"Esok merupakan waktu puncak dan kita anggarkan kadar trafik mampu mencecah sehingga 200,000 kenderaan yang akan bergerak ke destinasi masing-masing," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Gombak di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyarankan agar orang ramai merujuk kepada jadual perjalanan yang telah disediakan oleh pihak ANIH Berhad bagi memastikan mereka tidak terperangkap dalam kesesakan trafik yang tinggi.
"Kita bahagikan pergerakan kepada tiga negeri Pahang, Kelantan, dan Terengganu pada waktu berbeza supaya tidak ada berlaku pertembungan trafik yang besar," katanya lagi.
Menyentuh mengenai lokasi kawasan rehat dan rawat (RNR) ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihaknya sentiasa memastikan pematuhan SOP berada di peringkat terbaik.
Jelasnya, sekiranya berlaku kepadatan yang tinggi melibatkan kawasan RNR, pihaknya terpaksa menutup kawasan tersebut buat sementara waktu bagi memastikan amalan penjarakan sosial dapat dipenuhi.
#Aidiladha #Anih Berhad #penjarakan sosial #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #Radzimah Mohd Radzi #SOP
;