Aliran trafik ke Lembah Klang meningkat namun terkawal - LLM

Madiha Abdullah
Mei 7, 2022 20:11 MYT
Peningkatan aliran trafik ini juga menyebabkan kenderaan bergerak perlahan di beberapa lokasi. - LLM
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di semua lebuh raya menuju ke Lembah Klang telah mencatatkan peningkatan sejak pagi tadi namun setakat jam 6.45 petang ini, pergerakan trafik di semua lokasi masih lagi terkawal.
Ini berikutan orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan aliran trafik ini juga menyebabkan kenderaan bergerak perlahan di beberapa lokasi.
Di sektor utara, kenderaan didapati bergerak perlahan di laluan Jawi – Sg Bakap (arah Utara), Permatang Pauh – Sg Dua – Bertam (arah Utara), Juru – Bandar Cassia (arah Selatan), Kuala Kangsar – Sg Perak (arah Selatan), Ipoh – Simpang Pulai (arah Selatan), Gopeng – Tapah – Sungkai (arah Selatan) dan Bukit Beruntung – Rawang (arah Selatan)
Di sektor selatan, trafik bergerak perlahan di Yong Peng – Pagoh (arah Utara), Pedas / Linggi – Seremban (arah Utara), Yong Peng – Ayer Hitam (arah Selatan) dan Machap – Simpang Renggam – Sedenak – Kulai (arah Selatan)
Manakala sektor timur pula, trafik perlahan dari Karak – Bentong (arah Barat), Lentang – Bukit Tinggi (arah Barat) dan Plaza Tol Gombak (arah Barat).
Terdapat juga beberapa kejadian kemalangan yang telah menyebabkan aliran trafik terganggu namun kembali terkawal selepas kenderaan yang terlibat dialihkan.
#trafik #lebuh raya #Lembah Klang #Aidilfitri #LLM #Lembaga Lebuhraya Malaysia
;