Aliran trafik dijangka meningkat esok
Nursyazwani Saiful Sham
Jun 22, 2018 21:40 MYT
Jun 22, 2018 21:40 MYT
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama PLUS dilaporkan berjalan lancar hari ini.
Hasil tinjauan udara Astro AWANI bersama PLUS mendapati jumlah kenderaan juga dilihat semakin berkurangan memandangkan orang ramai sudah pulang ke pusat bandar sejak berakhirnya cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri pada 17 Jun lepas.
Kawasan ‘panas’ yang lazimnya berlaku kesesakan jalan raya seperti kedua-dua arah menghala utara dan selatan menuju ke Terowong Menora masih lagi terkawal.
Antara lain seperti Simpang Pulai ke Tapah, Bukit Beruntung ke Rawang juga dilihat lancar.
Namun, menurut Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusuf Abdul Aziz, jumlah kenderaan dijangka meningkat pada cuti hujung minggu memandangkan orang ramai pulang ke pusat bandar.
“Kita menjangkakan pada esok hari akan terdapat peningkatan trafik yang agak ketara memandangkan cuti hujung minggu dan penutup cuti sekolah.
“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada pengguna lebuh raya khususnya kenderaan berat untuk tidak memasuki lebuh raya kedua -dua hari (Sabtu dan Ahad) memandangkan Ops Selamat akan berakhir 24 Jun ini.
“Justeru pada yang ingin pulang ke bandar sila patuhi jadual perjalanan yang telah dikemukakan oleh PLUS,” katanya.
Tambah Mohd Yusuf, pengguna lebuh raya disarankan merancang perjalanan dan berhati-hati ketika memandu.
Kepada pengguna yang ingin mendapatkan maklumat terkini trafik di lebuh raya utama PLUS, layari Twitter @plustrafik untuk perkembangan dari semasa ke semasa.
#lebuh raya
#Lebuh Raya Utara - Selatan
#Mohd Yusuf Abdul Aziz
#Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS Malaysia Berhad
#PLUS