Aliran trafik di Tambak Johor, Linkedua dijangka 'luar biasa'

Bernama
Januari 17, 2023 18:11 MYT
Polis Johor menjangkakan aliran trafik di Tambak Johor dan Linkedua, menjadi 'luar biasa' terutamanya pada waktu puncak menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Ahad ini. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis Johor menjangkakan aliran trafik di Tambak Johor, di sini dan Linkedua, Iskandar Puteri menjadi 'luar biasa' terutamanya pada waktu puncak menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Ahad ini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata buat masa ini, lebih 100,000 kenderaan melalui kedua-dua laluan itu sementara lebih 100,000 orang pengguna melalui Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
"Bilangan kereta dijangka akan meningkat sehingga dua ke tiga kali ganda terutama waktu-waktu tertentu (waktu puncak).
"Mungkin dalam sehari, dua hari sebelum Tahun Baharu Cina dan dua tiga hari selepas sambutan perayaan itu," katanya kepada pemberita selepas walk about kempen Rumah Selamat di sebuah pusat beli- belah, di sini hari ini.
Beliau berkata kekuatan anggota dan pegawai polis juga dipertingkatkan kepada 250 orang berbanding 120 orang, terutama waktu puncak bagi membuat kawalan keselamatan dan lalu lintas bersama agensi-agensi lain yang berkaitan.
Katanya menerusi Op Selamat, sebanyak 61 lokasi panas (hotspot) kesesakan dan 38 lokasi kemalangan (blackspot) di Johor yang turut diberi keutamaan sepanjang 10 hari bermula esok.
Kamarul Zaman turut menasihati orang ramai yang akan pulang ke kampung memaklumkan kepada balai polis terdekat supaya rumah mereka dapat dipantau dan diperiksa dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perayaan itu.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Pengurangan Saman Polis 50 Peratus PDRM Johor, beliau berkata sebanyak 18,416 saman berjaya diselesaikan dengan kutipan RM2.28 juta.
Pada tahun lepas, sebanyak 311,674 saman dikeluarkan di Johor dengan kesalahan terbesar ialah memandu melebihi had laju melibatkan 276,129 saman.
-- BERNAMA
#aliran trafik #Tambak Johor #LINKEDUA #Tahun Baharu Cina
;